comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] KPM akan perkasa garis panduan pengurusan salah laku seksual di sekolah – Fadhlina


KUALA KANGSAR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memperkasa garis panduan pengurusan salah laku seksual di sekolah bagi mencegah jenayah rogol membabitkan kanak-kanak bawah umur.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, KPM mengambil serius pendedahan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain semalam, bahawa kes rogol membabitkan kanak-kanak bawah umur, khususnya murid meningkat secara konsisten sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Susulan itu, Fadhlina berkata, pihaknya bakal menggiatkan latihan advokasi kepada guru berhubung tatacara pengendalian kes salah laku seksual di peringkat sekolah.

“Misalnya, di peringkat guru sukan, kita memperkenalkan kod sukan selamat bagi memastikan anak murid dapat membuat aktiviti dengan selamat daripada sebarang gangguan seksual.

“Di sekolah, kita tegaskan semula pengurusan anti gangguan seksual (merangkumi) proses aduan serta tindakan yang mesti diambil dengan segera sebaik guru tahu tentang perilaku terbabit.

“Kita mahu anak-anak percaya bahawa mereka mempunyai tempat selamat membuat aduan dan seterusnya dilindungi,” katanya kepada media selepas merasmikan Seminar dan Sudut Pemikiran Datuk Dr Siddiq Fadzil di Dewan Serbaguna Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah; Naib Canselor USAS, Datuk Dr Wan Sabri Wan Yusof dan Mufti Perak Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, KPM terlebih dahulu mengambil langkah pencegahan dengan bekerjasama bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) dalam program advokasi itu.

“Baru-baru ini, KPM juga melaksanakan Konvensyen Perlindungan Murid daripada Eksplotasi Seksual.

“Saya sudah sebut, jika berlaku dalam sekolah, kita tidak akan kompromi. ‘You touch, you go’, itu memang pendekatan dan penegasan yang sudah kita berikan sebelum ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini