comscore
Tumpuan :
Nasional

KPLB Perkukuh Kerjasama Pembangunan Usahawan E-Dagang

Oleh Kumaran Rajamoney

ALOR SETAR: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) terus mengukuhkan kerjasama pembangunan usahawan luar bandar berasaskan platform e-dagang.

Ia menerusi pemeteraian pelanjutan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat Elokal Sdn Bhd bagi menjayakan Program DesaMall@KPLB.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kerjasama itu merangkumi program bimbingan dan latihan kepada usahawan luar bandar, pemasaran produk secara dalam talian serta bekerjasama dengan pemain industri yang relevan untuk menjayakan DesaMall@KPLB.

“Kita harap usahawan di luar bandar termasuk usahawan digital mendapat manfaat daripada MoU ini manakala syarikat Elokal Sdn Bhd boleh meletakkan sasaran berapa ramai usahawan yang akan dilatih.

“Keduanya, diharap ada peningkatan jualan produk usahawan luar bandar kerana MoU ini turut melibatkan institusi kewangan, jadi mungkin ada cara dan kaedah gerbang pembayaran (bagi bantu usahawan),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan pemeteraian MoU itu sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Kedah di Stadium Darul Aman, hari ini.

KPLB diwakili oleh Ketua Setiausaha, Datuk Ramlan Harun manakala Elokal Sdn Bhd diwakili Pengarah Urusannya yang juga Pentadbir DesaMall@KPLB, Ahmad Shah Wahid.

Pada majlis yang sama, Mahdzir turut menyaksikan Elokal Sdn Bhd menandatangani kerjasama dengan 11 rakan strategik.

Antaranya MaybankQR, Bank Islam, Bank Simpanan Nasional, Fasspay, Foodpanda Malaysia, Lazada, Celcom dan Maxis.

Program DesaMall@KPLB adalah inisiatif KPLB yang bertujuan membantu usahawan luar bandar memasarkan produk mereka secara dalam talian melalui platform e-dagang.

KPLB merupakan kementerian peneraju Jelajah AKM Kedah yang berlangsung mulai semalam hingga Ahad ini.

Jelajah AKM Kedah adalah edisi kesembilan selepas Johor, Perlis, Sabah, Terengganu, Perak, Kelantan, Sarawak dan Selangor.

Penganjuran Jelajah AKM bertujuan memudahkan rakyat di setiap negeri mendapatkan maklumat terus mengenai bantuan dan perancangan yang ditawarkan kerajaan.

Loading...
Terkini