comscore
Tumpuan :
Nasional

KPKT komited tingkat kualiti hidup, ringan beban isi rumah miskin bandar

Foto: NSTP

TASEK GELUGOR: Kerajaan komited meningkatkan kualiti hidup dan membantu mengurangkan beban ditanggung oleh ketua isi rumah keluarga miskin dan berpendapatan rendah di bandar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, justeru, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperkenalkan Program Kemampanan Komuniti Bandar (PKKB) bagi mengimbangi kesan pembangunan pesat dan komuniti bandar.

“Sejumlah RM2.25 juta diluluskan oleh kerajaan bagi pelaksanaan PKKB di Semenanjung dan akan diperluaskan ke Sabah dan Sarawak,” katanya selepas merasmikan Program Pemantapan Komuniti Bandar Keluarga Malaysia di Pusat Komersial Tasek Gelugor, hari ini.

Turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Dua, Datuk Muhamad Yusoff Mohd Noor dan Ketua Setiausaha KPKT, Datuk M Noor Azman Taib.

Perdana Menteri berkata, prihatin dengan kesejahteraan Keluarga Malaysia, KPKT terus berusaha meningkatkan kualiti hidup rakyat khususnya dalam kalangan komuniti bandar yang berpendapatan rendah.

“Pelaksanaan program ini adalah selaras dengan Agenda Malaysia Berdaya Huni serta menyokong Aspirasi Keluarga Malaysia iaitu meningkatkan kesejahteraan sosial dan memperkukuh penyatuan dalam acuan Keluarga Malaysia.

“Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) seperti Program Baik Pulih Rumah di Bandar dan Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) adalah usaha berterusan KPKT untuk meningkatkan kualiti hidup keluarga berpendapatan rendah yang tinggal di bandar.

“Bukan itu saja, bagi Program Baik Pulih Rumah di Bandar di bawah PPKB, terdapat peningkatan peruntukan sebanyak RM4.45 juta kepada RM6.5 juta khusus untuk Keluarga Malaysia di Pulau Pinang yang bakal memberi manfaat kepada 435 orang penerima bantuan perumahan,” katanya.

Beliau berkata, PEKB pula adalah program dijalankan dalam komuniti B40 untuk meningkatkan kemahiran keusahawanan dan perniagaan.

“Pada 2022, seramai 249 peserta program PEKB berjaya dilatih di Pulau Pinang. Selain itu, Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) yang diperkenalkan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) sejak 20 tahun dulu juga membantu kumpulan B40 yang berkelayakan untuk memiliki kediaman sendiri sejajar dengan ciri-ciri Aspirasi Keluarga Malaysia.

“Sehingga kini, SPNB berjaya menyiapkan sejumlah 51,726 unit RMR di seluruh negara termasuk 519 unit RMR di Pulau Pinang. Pada 2022, sebanyak 5,000 unit rumah diluluskan termasuk 507 unit untuk dibina di Pulau Pinang,” katanya.

Dalam majlis sama, Perdana Menteri menyampaikan Surat Kelulusan Program Baik Pulih Rumah Negeri Pulau Pinang, Surat Tawaran Rumah Mesra Rakyat SPNB dan Sijil Pencapaian Cemerlang Program PEKB kepada 30 orang mewakili penerima yang lain.

Perdana Menteri turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM2.8 juta bagi pembinaan Masjid Taman Sungai Dua Utama di Tasek Gelugor.

KPKT terus komited dalam memperkukuhkan dasar dan program bagi komuniti setempat bagi memastikan kesaksamaan dari segi kemajuan sosio-ekonomi termasuklah menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta menambah baik kualiti hidup bagi seluruh Keluarga Malaysia selari dengan aspirasi “Malaysia Berdaya Huni” atau “Liveable Malaysia”.-HARIAN METRO

Loading...
Terkini