comscore
Tumpuan :
Nasional

KPKT kenal pasti 18 lokasi bagi pembangunan loji WTE

JITRA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengenal pasti sebanyak 18 lokasi bagi pembangunan loji sisa pepejal kepada tenaga (WTE) di seluruh negara sebagai kaedah baharu pengurusan sisa pepejal.

Menterinya Nga Kor Ming berkata pembangunan loji itu yang menjadi hala tuju baharu negara dalam menguruskan sisa pepejal akan menggunakan teknologi canggih dan terkini yang telah terbukti berjaya di beberapa negara Eropah selain China dan Jepun.

“Hala tuju kementerian pada masa akan datang ialah tukar sisa buangan kepada tenaga dan menjadi tunai. Ini akan menjadi hala tuju kerajaan untuk memastikan supaya bukan saja kita mesra alam, sampah yang telah pun dibuang boleh dijadikan tenaga boleh diperbaharui.

“Malaysia kini akan mengadaptasi teknologi yang paling canggihselepas belajar daripada kesilapan orang lain,” katanya.kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Projek Inisiatif Hijau Pemuliharaan Alam Sekitar bagi Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Paya Kemunting, dekat sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha KPKT Datuk Wira Noor Azman Taib dan Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) Dr Mohd Azhar Abd Hamid.

Sementara itu, Nga berkata Projek Inisiatif Hijau Pemuliharaan Alam Sekitar itu bertujuan untuk mengurangkan kewujudan tapak pelupusan tidak sanitari selaras dengan pewartaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

Beliau berkata pelaksanaan inisiatif tersebut telah dilaksanakan di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Paya Kemunting yang disiapkan pada 1 Sept tahun lepas dengan kos keseluruhan berjumlah RM13 juta dan merupakan tapak pelupusan tidak sanitari ke-175 yang dihentikan operasi dan telah ditutup di seluruh negara.

“Tapak pelupusan ini telah pun beroperasi sejak tahun 1974, tahun ini genap 50 tahun, akhirnya kita berjaya menutupnya, maka penduduk di sekitar pun berasa selesa, selamat, tidak ada lagi bau yang kurang menyenangkan,” katanya.

Menurutnya tapak pelupusan yang berkeluasan 5.26 hektar itu sebelum ini telah dihentikan operasi dan ditutup pada 1 Jan 2019.

Dalam pada itu, Mohd Azhar berkata terdapat sebanyak 154 tapak pelupusan konvensional yang masih beroperasi di seluruh negara dan kini telah melalui proses sanitari bagi mengawal limpahan air larut resap, pelepasan gas metana dan bau.

“Tapak pelupusan sanitari ini adalah tapak-tapak pelupusan yang dikawal dari segi hidrosfera, atmosfera dan litosfera iaitu tanah, udara dan air,” katanya yang turut memberitahu kira-kira 60 tapak pelupusan tidak sanitari dijangka akan ditutup operasi. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini