comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] KPKT & agensi turun padang bantu penduduk

Oleh: Fatin Hanani Sahimi

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersetuju menghulurkan bantuan kepada penduduk di Kampung Pandan Dalam, Ampang Jaya, di ibu negara susulan laporan Aduan Rakyat mengenai isu kemiskinan bandar yang disiarkan menerusi Buletin Utama Sabtu lalu.

Sebelum ini, penduduk berkenaan tidak menerima bantuan kerana tidak mendaftar dalam sistem E-kasih.

Dalam satu kenyataan, KPKT memaklumkan pihaknya telah melakukan turun padang bersama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pusat Zakat Selangor untuk melakukan semakan.

Hasil semakan, pihaknya mendapati, ketiga-tiga penduduk yang dipaparkan dalam laporan Aduan Rakyat didapati tidak mempunyai pendapatan tetap serta mempunyai masalah kesihatan.

Malah rumah yang diduduki mereka adalah rumah yang dimiliki oleh ahli keluarga lain atau waris terdahulu.

Tambah kenyataan itu, berdasarkan semakan lanjut, penduduk berkenaan juga tidak pernah berdaftar dalam sistem E-kasih.

Sabtu lalu,  Aduan Rakyat memaparkan isu kemiskinan bandar yang dihadapi oleh penduduk di ibu negara.

Ketika tinjauan dilakukan, beberapa buah rumah penduduk yang uzur berusia lebih 50 tahun, mengalami kerosakan seperti bumbung bocor dan memerlukan pembaikan segera.

Prihatin akan permasalahan terbabit, KPKT mempertimbangkan bantuan sewajarnya dihulurkan kepada penduduk berkenaan melalui Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB), sekiranya memenuhi syarat.

Selain itu, pihaknya turut bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), iaitu MPAJ selaku pihak penyelaras bantuan dari pelbagai agensi bagi tujuan penyaluran bantuan kepada pengadu berkenaan.

Malah turut mengambil inisiatif mendaftarkan penduduk terbabit dalam sistem E-kasih sebagaimana ketetapan garis panduan PPKB yang telah dikeluarkan oleh KPKT.

Loading...
Terkini