Tumpuan :
Nasional

KPKM perhalusi harga lantai padi RM1,500 satu tan bersama pihak berkaitan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan membincangkan mengenai penetapan harga lantai belian padi kepada RM1,500 satu tan, dengan semua pihak berkaitan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata harga minimum belian padi kini ditetapkan pada kadar RM1,300 bagi setiap tan metrik dan pelaksanaan ini juga merangkumi di Sabah dan Sarawak mulai 15 Februari lalu.

“Hendak tetapkan RM1,500 saya bukan diktator, perlu berbincang dengan semua pihak termasuk Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) dan sebagainya kerana kerajaan ada sistem.

“Saya ingin menegaskan bahawa penetapan harga ini adalah langkah strategik bagi melindungi kepentingan pesawah.

“Namun begitu, perbezaan harga antara negeri adalah keputusan perniagaan berdasarkan dinamik pasaran setempat,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 peringkat dasar, di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada masa sama, Mohamad berkata bagi menjawab kebimbangan sama ada kerajaan bercadang menyelaras harga jualan padi di seluruh negara, kerajaan bagaimanapun sedang mempertimbangkan cadangan terbabit.

Beliau berkata, ia akan dimuktamadkan selepas kajian terperinci mengenai penyelarasan harga baharu dibuat dalam masa terdekat.

“Kajian ini bertujuan memastikan kestabilan harga padi di semua kawasan dan membantu meningkatkan pendapatan pesawah secara adil.

“Ini adalah sebahagian daripada reformasi industri padi dan beras yang sedang dilaksanakan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata KPKM menyifatkan semakan semula harga siling beras putih tempatan adalah wajar dilaksanakan sebagai langkah penyelesaian jangka panjang.

Beliau berkata, walaupun cadangan ini masih dalam proses kajian terperinci, pihak Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sudah melengkapkan laporan kajian am mengenai industri padi dan beras.

“Laporan ini akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara (FSCC) akan datang.

“KPKM komited untuk meneliti hasil kajian ini serta syor yang dikemukakan, dengan harapan reformasi industri padi dan beras dapat dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata, semakan itu perlu mengambil kira kos pengeluaran semasa dan unjuran kos pada masa depan, serta pergerakan harga beras putih global.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini