comscore
Tumpuan :
Nasional

KPKM jamin beri kerjasama kepada SPRM berkaitan isu kartel baja padi RM1.8 bilion

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu. – Foto fail NSTP

Oleh: Syafiqah Damanhuri

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedia memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan pembongkaran kewujudan kartel dalam pengagihan dan perbekalan kontrak baja padi dianggarkan bernilai RM1.8 bilion.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, beliau mengalu-alukan siasatan oleh badan berkenaan yang dijalankan ke atas Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

“Saya amat mengalu-alukan siasatan oleh SPRM yang dijalankan kini ke atas NAFAS.

“Saya juga ingin beri jaminan yang KPKM akan beri sepenuh kerjasama kepada pihak SPRM untuk melengkapkan siasatan mereka.” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.

Terdahulu, media melaporkan beberapa siri bongkaran dilakukan SPRM dalam tempoh dua hari lalu di sekitar Kuala Lumpur termasuk di ibu pejabat pertubuhan, kementerian dan sembilan syarikat yang mendapat projek berkaitan.

Menurut sumber, projek di bawah kementerian ini berjumlah RM1.8 bilion dianugerahkan kepada pertubuhan terbabit bagi tempoh 30 bulan bermula 2021 hingga 2023.

Pertubuhan terbabit dipertanggungjawab untuk menghasilkan baja padi dan mengedarkannya kepada pesawah di seluruh negara melalui pejabat pertubuhan di peringkat negeri masing-masing.

Hasil siasatan mendapati pertubuhan itu sudah menggunakan dua kaedah untuk memenuhi kontrak kerajaan iaitu membeli terus baja padi daripada lima syarikat pengeluar dan membeli bahan mentah bagi memproses baja daripada empat syarikat.

Justeru, siasatan SPRM akan menjurus kepada kesalahan rasuah dalam perolehan baja atau bahan mentah daripada syarikat-syarikat terpilih.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini