Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) diminta untuk mengkaji mekanisme kawalan percampuran beras putih tempatan dan beras putih import berserta simulasi harga.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara (JKKMN) Bilangan 2 Tahun 2024 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.
“Antara kertas yang diteliti termasuk hasil dapatan Kajian Industri Padi dan Beras di Malaysia oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengenai aspek pengeluaran serta tadbir urus industri padi dan beras.
“Berdasarkan syor dari MyCC, mesyuarat telah meminta KPKM untuk mengkaji mekanisme
kawalan percampuran beras putih tempatan dan beras putih import beserta simulasi harga,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Oktober lalu, Mohamad dilaporkan berkata, pekeliling mengenai Peraturan Melarang Campuran Beras Putih Tempatan dengan Beras Putih Import akan dikeluarkan sebagai langkah strategi reformasi kementerian itu dalam menyelesaikan masalah yang timbul.
Mengulas lanjut, menurut Mohamad, mesyuarat turut meminta KPKM untuk mengkaji bentuk bantuan dan sokongan yang boleh diberikan kepada golongan pesawah serta industri padi dan beras bagi menyerap kesan kenaikan kos pengeluaran padi dan beras.
Kajian tersebut perlu disediakan secara
komprehensif dan dibentangkan ke kabinet pada Januari depan.
Selain itu, satu sesi libat urus bersama pemain industri juga akan diadakan bagi memperhalusi mekanisme pelaksanaan subsidi telur ayam.
“Mesyuarat turut bersetuju agar inisiatif berkaitan industri padi dan beras serta telur dilaksanakan segera bagi memastikan kemampanan industri serta ketersediaan bekalan komoditi makanan tersebut sentiasa terjamin,” katanya.
Tambahnya, KPKM komited untuk memastikan keputusan yang diambil akan memberikan keseimbangan dan tidak akan membebankan rakyat serta industri.
Ia selaras dengan nilai teras Malaysia MADANI iaitu KeMampanan, KesejAhteraan dan Ihsan.
“Mesyuarat menyeru agar semua pihak bersama-sama menggembleng tenaga dalam usaha meningkatkan tahap keterjaminan makanan negara agar lebih mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.