KEPALA BATAS: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan berbincang dengan beberapa kementerian lain berhubung cadangan mewujudkan hanya satu gred tunggal untuk beras putih dan tidak perlu lagi melabelkannya dengan Beras Putih Tempatan (BPT) dan Beras Putih Import (BPI) seperti kelaziman.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perbincangan itu dijalankan secara menyeluruh termasuk berhubung isu mahu menyelaraskan hal berkaitan padi pada masa akan datang.
“Kami (KPKM) akan mengadakan perbincangan dengan Gabungan Pengilang Beras Malaysia yang mencadangkan perkara itu, selain itu perbincangan turut dibuat bersama beberapa kementerian lain antaranya Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Sekurang-kurangnya empat kementerian akan terbabit dalam perbincangan itu untuk selaraskan hal padi pada masa akan datang, cadangan berkenaan kita boleh terima dan boleh juga kita tolak… jadi perlu diadakan perbincangan lanjut terlebih dulu,” katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.
Mohamad berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung cadangan Gabungan Pengilang Beras Malaysia mahu badan Kawalselia Padi dan Beras KPKM mewujudkan hanya satu gred tunggal untuk beras putih dan tidak perlu lagi melabelkannya dengan BPT dan BPI seperti kelaziman.
“…kita berusaha untuk menyelesaikan masalah beras yang sedang berjaya kita tangani dan akan pulih sepenuhnya, sama seperti isu ayam serta telur ayam,” katanya.
Beliau yang juga Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Amanah Kepala Batas, di Dewan Datuk Haji Ismail Che’ Chik di Penaga.
Sebelum ini pengerusi gabungan itu, Marzukhi Othman dilaporkan berkata, langkah itu penting untuk memastikan tiada sebarang manipulasi di peringkat pemborongan, sekali gus dapat mengelakkan pengguna tertipu dengan beras yang dibeli.
Sementara itu, Mohamad berkata KPKM bersiap sedia menghadapi musim Monsun Timur Laut yang dibimbangi menyebabkan banyak tanaman terjejas.
“Pada masa ini, belum ada lagi (sawah ditenggelami banjir) memandangkan (Monsun Timur Laut) masih di peringkat permulaan.
“Semua jawatankuasa khas di bawah Timbalan Perdana Menteri telah dipanggil mesyuarat ke arah persediaan untuk menghadapi kemungkinan banjir dan di bawah kementerian yang bertanggungjawab berkenaan (hal ehwal banjir) sedang bersiap sedia,” katanya.