Tumpuan :
Nasional

KPKM beku permit pindah padi antara negeri sejak 20 Jun

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sudah membekukan semua permohonan permit pindahan padi antara negeri berkuat kuasa sejak 20 Jun lalu.

Dalam kenyataannya, KPKM berkata, arahan itu walau bagaimanapun hanya membabitkan permohonan permit pindahan padi oleh Pelesen Membeli Padi.

“Petani masih boleh menjual hasil padi mereka di mana-mana kilang, termasuk kilang yang terletak di negeri lain,” katanya.

Kementerian itu berkata, keputusan membekukan permit terbabit dibuat selepas mengambil kira kepentingan dan hak petani.

“Petani hanya perlu memohon permit pindahan padi daripada Pejabat Kawalselia Padi dan Beras (KPB) Negeri berkenaan sekiranya ingin menjual padi ke kilang di luar negeri.

“Langkah ini adalah satu intervensi KPKM yang bersifat sementara untuk terus memastikan bekalan beras adalah sentiasa stabil di dalam pasaran negara,” katanya.

Bagaimanapun KPKM berkata, Pelesen Membeli Padi boleh memohon menjual padi di luar negeri sekiranya ada keperluan dan mereka boleh membuat permohonan di Pejabat KPB Negeri untuk pertimbangan dan kelulusan Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras.

Katanya, permohonan mereka akan diteliti dan dipertimbangkan oleh KPKM berdasarkan keperluan setiap kes yang diterima.

“KPKM juga akan mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan bagi memperjelaskan isu yang berbangkit untuk memastikan bekalan beras tempatan sentiasa stabil dalam pasaran dengan harga dikawal sebagai pilihan beras yang murah kepada pengguna,” katanya.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata khabar angin yang mengatakan harga beras di negara ini akan mengalami kenaikan mulai bulan depan bukan berdasarkan keputusan kerajaan.

Katanya, kerajaan belum membuat sebarang keputusan berhubung harga makanan ruji itu dan pihaknya juga belum menerima apa-apa maklumat berkaitan penyusutan hasil padi disebabkan fenomena El-Nino, yang didakwa menjadi punca penurunan bekalan yang kemudiannya mendorong kenaikan harga beras.

Loading...
Terkini