Tumpuan :
Nasional

KPKM adakan taklimat khusus isu NAFAS dengan Ahli Parlimen minggu depan

Bangunan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan mengadakan taklimat khusus dengan Ahli Parlimen mengenai isu penyelewengan dihadapi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu juga akan menjawab isu berkenaan di Dewan Rakyat esok.

“Esok pagi dalam sesi MQT (Pertanyaan-Pertanyaan Menteri), Menteri akan menjawab isu NAFAS secara khusus. Jadi saya harap YB dapat hadir untuk mendengar jawatan dari Menteri.

“Pada minggu depan pula, kementerian akan adakan satu taklimat pada 25 November kepada Ahli Parlimen. Saya harap YB yang lain juga hadir pada waktu itu,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup.

Terdahulu, beberapa Ahli Parlimen membangkitkan persoalan berhubung isu membelenggu NAFAS dan meminta penjelasan mengenai tindakan tegas kementerian dalam memastikan masalah itu tidak berulang pada masa depan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini memaklumkan, telah memulakan siasatan berhubung kewujudan kartel dalam pengagihan dan perbekalan kontrak baja padi di sebuah pertubuhan di bawah kawalan sebuah kementerian yang dianggarkan bernilai RM1.8 bilion.

Beberapa siri pembongkaran juga dilakukan suruhanjaya berkenaan di sekitar Kuala Lumpur termasuk di ibu pejabat pertubuhan, kementerian dan sembilan syarikat yang mendapat projek berkaitan.

Susulan pembongkaran itu, Pendaftar Pertubuhan Peladang menggantung Perlembagaan NAFAS berkuatkuasa serta merta.

Arahan penggantungan itu dikeluarkan Ketua Pengarah Pertubuhan Peladang, Amir Matamin, selaku Pendaftar Pertubuhan Peladang di bawah Seksyen 20(1) Akta Pertubuhan Peladang 1973 (Akta 109).

Dalam tempoh penggantungan itu, Jemaah Pengarah dan pihak pengurusan NAFAS tidak mempunyai kuasa seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan pertubuhan itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini