comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] KPK sasar kumpul 300,000kg UCO

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani diiringi oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Komoditi), Datuk Razali Mohamad (kiri) dan Pengarah Urusan Petronas Dagangan Berhad, Azrul Osman Rani (kanan) melakukan gimik meletakkan minyak masak terpakai (UCO) ke dalam tong kutipan sebagai simbolik pelancaran Program Pengumpulan Minyak Masak Terpakai sempena Ikhlas Ramadan bersama Gas Petronas di Bazar Ramadan Desa Pandan. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menyasarkan mengumpul 300,000 kilogram (kg) dan penyertaan 15,000 orang ramai dalam Program Pengumpulan Minyak Masak Terpakai, tahun ini.

Inisiatif dengan usahasama PETRONAS Dagangan Berhad itu bertujuan mengembangkan potensi penghasilan biobahan api yang lestari menggunakan minyak masak terpakai bagi mengurangkan kadar pelepasan gas rumah kaca (GHG).

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata program terbabit juga akan diperluas ke stesen minyak PETRONAS terpilih di seluruh negara secara berperingkat.

Untuk itu, orang ramai digalakkan mengumpul minyak masak terpakai (UCO), seterusnya dibawa ke stesen minyak terpilih PETRONAS berkenaan untuk dijual.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani pada pelancaran Program Pengumpulan Minyak Masak Terpakai sempena Ikhlas Ramadan bersama Gas Petronas di Bazar Ramadan Desa Pandan. – FOTO: NSTP

Beliau ditemui ketika merasmikan Program Pengumpulan Minyak Masak Terpakai sempena Ikhlas Ramadan bersama Gas PETRONAS di Bazar Ramadan dekat Bazar Ramadan Desa Pandan di sini, hari ini.

Sementara itu, Johari berkata program berkenaan akan turut diperluas ke bazar Ramadan terpilih seperti di Desa Pandan di sini, serta di USJ4, Bandar Kinrara, Puchong Prima dan Puncak Jalil (PUJ3) dekat Selangor.

“Kita sasarkan inisiatif ini dapat diperluas di bazar di seluruh negara pada tahun akan datang, dalam usaha membantu negara terus memelihara alam sekitar, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan tambahan isi rumah seluruh rakyat di Malaysia,” katanya.

Pada program itu, PETRONAS turut menjalankan program impak sosial iaitu ‘Ikhlas Ramadan’ bersama Gas PETRONAS dengan menyumbang gas memasak PETRONAS kepada peniaga di bazar Ramadan terpilih.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini