comscore
Tumpuan :
Nasional

KPK mahu lebih ramai pekebun kecil daftar BUDI Agri-Komoditi

Datuk Seri Johari Abdul Ghani

Oleh: Syafiqah Damanhuri

KLUANG: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menyarankan lebih ramai pekebun kecil komoditi sawit, getah, koko, kenaf dan lada mendaftar dengan agensi di bawah kementerian bagi menerima manfaat BUDI Agri-Komoditi.

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata setakat 20 September lalu kira-kira 60,000 permohonan diterima daripada keseluruhan lebih 200,000 pekebun kecil yang ada di seluruh negara.

“Kita terima permohonan 60,000 orang. Tapi di Johor ini sepatutnya ada 46,000 pekebun kecil tapi baru seribu lebih sahaja yang dapat.

“Jadi sebab itu kita turun (ke kawasan) bagi kita kenal pasti dapatkan mereka ini supaya boleh daftar.

“Supaya bila mereka balik nanti, jumpa kawan-kawan pekebun kecil lain pula boleh daftar,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Program Turun Padang BUDI Madani dan BUDI Agri-Komoditi di Kampung Abdul Rahman Yassin di sini.

Tambahnya, pekebun kecil yang layak dapat menerima bantuan RM2,400 setahun dengan bayaran ke akaun RM200 sebulan.

“Saya beritahu pada semua kementerian dalam agensi ini, pejabat dia kena menerima untuk tolong pekebun key in dan daftar.

“Sebab kadang-kadang kawasan mereka tak ada internet kita tolong daftar, masuk nombor akaun, masuk ke Kementerian Kewangan (MOF) dah lulus pembayaran akan dibuat tiap-tiap bulan.

“Itu sebab kita nak fokus dapat capai matlamat.” Ujarnya.

Terdahulu beliau meluangkan masa bersama 600 orang pekebun kecil terdiri daripada pekebun sawit, getah dan koko hadir dalam program itu.

Untuk rekod, BUDI Agri-Komoditi merupakan inisiatif bantuan tunai kerajaan secara bulanan kepada pekebun kecil bagi memastikan peruntukan subsidi bahan api disalurkan kepada kumpulan yang berkelayakan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini