Tumpuan :
Nasional

KPDNHEP ditukar ke KPDN berkuat kuasa 3 Disember

FOTO: NSTP

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Nama baharu bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah dipinda kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, berkuat kuasa 3 Disember lalu.

Menerusi satu surat bertarikh semalam yang diedarkan kepada Ketua Setiausaha kementerian lain, Ketua Setiausahanya, Datuk Azman Mohd Yusof berkata, singkatan nama kementerian yang telah dipersetujui Menteri, Datuk Seri Salahuddin Ayub adalah ‘KPDN’.

Menurutnya, pemilihan akronim berkenaan adalah bertepatan dengan peranan utama kementerian yang bertanggungjawab dalam mengharmornikan ekonomi negara.

“Di antara fungsi utama kementerian ini juga adalah sebagai peneraju dalam mengawal selia pembangunan ekosistem perdagangan domestik ke arah yang mampan, berdaya maju serta berdaya saing.

“Dalam hubungan ini, ekosistem perdagangan dalam negeri yang mampan akan menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dan secara langsung akan memastikan kesejahteraan pengguna di negara kita terutamanya dalam menangani agenda peningkatan kos sara hidup,” katanya.

KPDNHEP ditubuhkan pada 27 Oktober 1990 ditukar nama kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) pada 2009 selari dengan peranan dan fungsi kementerian yang diperluaskan untuk merangkumi sektor francais.

Nama itu dikembalikan semula kepada KPDNHEP pada 2018 ketika pertukaran tampuk pentadbiran negara.

Datuk Azman berkata, Visi, Misi dan Fungsi KPDN adalah dikekalkan serta tiada sebarang pindaan.

“Ini adalah kerana Visi, Misi dan Fungsi kementerian yang sedia ada adalah selaras dengan fokus utama kerajaan pada masa kini yang melibatkan agenda merancakkan ekonomi negara dan menstabilkan kos sara hidup rakyat,” katanya.

Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelantikan dua timbalan perdana menteri serta 27 Jemaah Menteri yang menganggotai Kabinet Kerajaan Perpaduan, termasuk pengumuman Datuk Seri Salahuddin sebagai Menteri KPDN.

Loading...
Terkini