Tumpuan :
Nasional

KPDN terus pantau kualiti makanan Menu Rahmah

Oleh: Amira Suraini Che Mohamad

PADANG BESAR: Mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dan mempunyai isu berbangkit berhubung Menu Rahmah yang ditawarkan peniaga boleh membuat aduan di saluran yang disediakan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, ia bagi membolehkan siasatan dan tindakan segera diambil kementeriannya.

“Kita pantau dan kita sedia menerima laporan tetapi kena spesifik ia dimana tempatnya, dimana warungnya. Jangan hanya tular di media sosial, kita tidak ambil itu sahaja sebagai bukti.”

“Kita nak kalau ada aduan, aduan yg bertanggungjawab, KPDN akan ambil tindakan sewajarnya.” katanya.

Beliau mengulas berkenaan isu pengusaha yang didakwa menggunakan barangan mentah tidak berkualiti dalam penyediaan makanan Menu Rahmah.

Salahuddin bagaimanapun berkata, sehingga kini kementeriannya tidak menerima sebarang laporan atau aduan negatif berhubung menu rahmah atau pelaksanaannya.

KPDN jelasnya sentiasa turun padang memantau penjualan menu rahmah agar tiada pengusaha yang berkompromi dengan kualiti makanan yang dijual.

Pihaknya turut berpuas hati dengan hasil pemantauan yang dibuat setakat ini apabila mendapati rata-rata peniaga menepati konsep sebenar menu berkenaan seperti yang disarankan.

Loading...
Terkini