comscore
Tumpuan :
Nasional

KPDN teliti kaedah manfaat lebihan makanan di bazar

KUANTAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang meneliti kaedah memanfaatkan lebihan makanan di bazar Ramadan bagi mengelakkan pembaziran, kata Timbalan Menterinya Senator Fuziah Salleh.

Sehubungan itu, beliau berkata kementerian berharap lebih banyak pihak melibatkan diri dalam insiatif itu yang bertujuan membantu rakyat kurang berkemampuan, sebagaimana pelaksanaan Menu Rahmah.

“Kita ada perancangan kerana ada banyak lebihan makanan di bazar…sedang bincang apa yang boleh dilakukan untuk memastikan makanan ini boleh dimanfaatkan.

“Kita sedang bekerja kuat untuk libat urus sebanyak mana yang boleh dan mahu membabitkan seluruh segmen masyarakat supaya mereka peroleh manfaatnya terutama mereka yang kurang bernasib baik pada waktu sahur,” katanya.

Fuziah berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Jelajah Menu Rahmah di sebuah restoran di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pengarah KPDN Datuk Azman Adam.

Mengulas pelaksanaan Menu Rahmah di Pahang, beliau berkata setakat ini terdapat 18 premis makanan telah berdaftar di direktori Menu Rahmah, menjadikan jumlah keseluruhan di seluruh negara kepada 512 premis.

Sementara itu, KPDN menerusi kenyataan media di sini memaklumkan premis yang telah menjual hidangan atau menu pada harga RM5 ke bawah boleh menjenamakan semula menu tersebut sebagai Menu Rahmah.

— BERNAMA

Loading...
Terkini