comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] KPDN tambah bilangan tenaga kerja untuk pantau bekalan & harga beras

RAUB: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menambah seramai 900 pegawai bertujuan untuk menumpukan kepada pemantauan bekalan dan harga beras di seluruh negara.

Ini menjadikan keseluruhan tenaga kerja terlibat seramai 2,390 orang dalam usaha kementerian terbabit menambah baik Op Jamin Fasa Dua.

Foto NSTP

Menurut Pemangku Menteri bertanggungjawab Datuk Armizan Mohd Ali sejak operasi itu dilancarkan 7 Julai lepas, menyaksikan 8,684 buah premis berjaya diperiksa secara kumulatif

“KPDN bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menerusi Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras mengadakan Op Jamin di seluruh negara dan kita putuskan untuk meneruskan fasa dua dengan pelbagai penambahbaikan.

Tumpuan Op Jamin ini memantau bekalan dan harga beras di semua peringkat rantaian, dengan meningkatkan tenaga kerja pemantauan, kita berjaya melipatgandakan jumlah premis yang diperiksa meliputi semua peringkat termasuk pengilang, pemborong dan peruncit,” katanya.

Armizan berkata demikian pada sidang media selepas menyertai Op Jamin di daerah ini hari ini, yang dibuat bagi melihat situasi semasa di lapangan berhubung kedudukan bekalan harian seperti beras, gula dan minyak masak.

Beliau berkata kementerian juga akan terus mencari penambahbaikan berhubung isu barangan keperluan harian yang akan dibawa ke mesyuarat pasca Kabinet.

“Kita cuba bentang mekanisme terbaik kerana penguatkuasaan bukan untuk isu beras ini sahaja tetapi kita cuba mencari penyelesaian jangka masa panjang,” katanya.

KPDN juga akan terus menggiatkan tindakan penguatkuasaan di bawah perundangan dan bidang kuasanya terutamanya dalam menangani isu penukaran label kampit beras yang dikhuatiri berlaku susulan pelarasan harga baharu bagi beras putih import (BPI).

Tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka yang membuat perihal dagangan palsu mengenai kandungan, jenis atau nama di bawah Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011 atau mengikut Seksyen 12(1)(a) Akta Pelindungan Pengguna 1999 iaitu memberi gambaran mengelirukan mengenai harga barang atau perkhidmatan.

Loading...
Terkini