Tumpuan :
Nasional

KPDN sita barangan tiruan bernilai lebih RM72,000 di Langkawi

Operasi oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bersama wakil pemilik cap dagang telah menyita 2,769 pelbagai barangan tiruan bernilai RM72,767 di premis perniagaan sekitar Pantai Chenang, Langkawi.- Foto NSTP

LANGKAWI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah menyita sebanyak 2,769 barangan tiruan bernilai RM72,767 dalam operasi di sini, petang semalam.

Serbuan serentak pada jam 5 petang oleh pasukan pegawai penguat kuasa KPDN Alor Setar dan Langkawi membabitkan tiga premis berasingan di sekitar Pantai Chenang.

Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata serbuan itu susulan aduan pemilik cap dagangan dan hasil risikan pihaknya sejak September lalu.

Katanya, dalam serbuan itu pihaknya merampas beg, tali pinggang, selipar, cermin mata, baju dan seluar menggunakan tujuh cap dagangan berdaftar.

“Hasil pemeriksaan bersama wakil pemilik cap dagang mendapati premis yang beroperasi di sekitar Pantai Chenang itu menjalankan perniagaan secara jualan terus manakala semua pekerjanya warga asing.

“Dalam serbuan itu, sebanyak 2,020 unit barangan disita dari premis pertama, diikuti premis kedua (413 unit) dan premis ketiga (336 unit),” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Muhammad Nizam berkata kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019.

Katanya, KPDN akan terus mempergiatkan pemeriksaan dan operasi selaras dengan gerakan massa yang diumumkan oleh kerajaan menerusi inisiatif Kita Gempur.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini