KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengenalpasti pemilik stesen minyak yang membenarkan kenderaan bernombor pendaftaran asing mengisi petrol RON95, yang videonya tular baru-baru ini.
Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDN Kuala Lumpur, Nurul Syarina Md Anuar berkata, pihaknya mengambil maklum berhubung isu itu dan menghantar sepasukan pegawai bagi menyiasat stesen minyak yang terletak di Penchala Link, Plaza Tol Penchala di sini jam 5.30 petang semalam.
“Hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kejadian itu berlaku pada jam 5.11 petang, 19 Julai lalu.
“Pemilik kenderaan membuat pembayaran tunai RM100 dan membuat pengisian petrol RON95 berjumlah RM45 lalu masuk semula ke dalam stesen bagi mengambil baki dari juruwang.
“Pemeriksaan mendapati kejadian membabitkan sebuah kereta Honda berwarna hitam dipercayai bernombor pendaftaran asing membuat pengisian petrol RON95,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, berdasarkan rakaman CCTV mendapati selain penjaga kaunter, atendan di pam minyak juga tidak memberi amaran kepada pemilik kenderaan terbabit.
Katanya, ia jelas menunjukkan stesen minyak berkenaan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menjual petrol RON95 kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing.
“Pasukan serbuan bertindak membuat penyitaan resit bayaran, rakaman CCTV sewaktu kejadian dan dokumen perniagaan bagi membantu siasatan kes.
“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi individu, manakala bagi perbadanan atau syarikat didenda tidak melebihi RM2 juta,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa