comscore
Tumpuan :
Nasional

KPDN serbu tujuh stor, kedai simpan selipar tiruan

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Enam stor penyimpan dan sebuah kedai di sebuah kompleks perniagaan di Lorong Haji Taib, Chow Kit diserbu kerana disyaki menjual dan menyimpan selipar tiruan, kelmarin.

Serbuan oleh sepasukan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur bersama wakil cap dagangan hasil risikan selama dua minggu.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Kuala Lumpur, Nurul Syarina Md Anuar, berkata pihaknya menyita 2,070 pasang selipar tiruan berjenama dengan nilai sitaan dianggarkan RM23,000 dalam serbuan itu.

Katanya, kesemua selipar tiruan yang dirampas itu disyaki dipakaikan cap dagangan secara salah mengikut Akta Cap Dagangan 2019

“Stok selipar tiruan ini dipercayai diperoleh dari negara luar dan enam stor di kompleks perniagaan ini dijadikan tempat penyimpanan sebelum diedarkan untuk jualan.“Dalam serbuan itu, pemilik perniagaan iaitu seorang lelaki tempatan berusia 40-an turut ditahan untuk siasatan lanjut.

“Pemilik perniagaan disyaki menjalankan perniagaan borong secara dalam talian dan menerima tempahan secara borong dari peniaga di sekitar Lembah Klang dan turut menyediakan perkhidmatan pos bagi peniaga yang berada di luar Lembah Klang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, kesemua premis ini sudah beroperasi lebih kurang tiga tahun dan serbuan pada kali ini adalah kali kedua dijalankan membabitkan premis serta pemilik yang sama.

Katanya, siasatan kes ini turut dijalankan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) kerana membabitkan kesalahan berulang.

“Untuk tempoh sepanjang tahun ini, sebanyak 55 kes berkait harta intelek diambil tindakan oleh KPDN Kuala Lumpur mengikut Akta Cap Dagangan 2019, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Hak Cipta 1987.

“Kesemua 55 kes itu membabitkan sitaan 46,900 pelbagai barangan dengan nilai rampasan RM2.06 juta dan lapan tangkapan,” katanya.Mengulas lanjut,

Nurul Syarina menasihatkan pengguna tidak menyokong pembelian serta penjualan barang tiruan tidak kira secara fizikal atau secara dalam talian.

“Kita beri amaran kepada semua peniaga agar terus mematuhi undang-undang sedia ada.

“Peniaga yang ingkar bakal menerima hukuman yang berat seperti mana yang ditetapkan oleh undang-undang,” katanya.Jika didapati bersalah, boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan berulang, boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini