Tumpuan :
Nasional

KPDN serbu pusat hiburan jual arak tiruan

Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Mohd Sabri Seman (tengah) menunjukkan arak tiruan yang dirampas di pusat hiburan ketika sidang media di KPDN Kuala Lumpur. – Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Pusat hiburan mengaut keuntungan berganda dengan menjual arak tiruan pada harga premium terbongkar dalam serbuan di dua premis di Jalan Tun Razak, di sini, pada Khamis.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur Mohd Sabri Seman berkata, sebanyak 244 botol minuman keras pelbagai jenama disyaki tiruan, dirampas dalam operasi itu.

Menurutnya, seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun dipercayai pengurus pusat hiburan terbabit ditahan bagi membantu siasatan lanjut.

“Dipercayai produk ini datang dari pasaran tempatan dan dijual pada harga sama dengan yang asli pada harga sekitar RM400 ke RM500, yang mana bagi mereka yang selalu minum (minuman keras) akan tahu perbezaan.

“Boleh tengok sendiri kualiti produk tiruan ini gred yang rendah, dari luar pun boleh nampak, setem cukai kastam juga dipercayai palsu,”katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, serbuan dijalankan susulan risikan selama dua minggu selepas menerima aduan awam berhubung penjualan minuman keras tiruan di pusat hiburan terbabit.

Mohd Sabri berkata, siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti asal-usul minuman tiruan berkenaan bagi membendung kegiatan itu daripada berleluasa.

Katanya, minuman beralkohol tiruan berisiko untuk diminum berikutan kandungan cecair berkenaan tidak disahkan dan boleh mendatangkan bahaya.

“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 102 (1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 yang boleh didenda sehingga RM30,000 bagi setiap barangan yang dipakaikan dengan cap dagangan salah.

“Siasatan lanjut akan dilakukan bersama pihak kastam berkenaan setem cukai minuman keras yang disyaki palsu dan pihak berkaitan juga boleh disiasat kerana disyaki melanggar seksyen 5(1)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730],” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini