KUALA LUMPUR: Sepasukan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur membuat serbuan ke atas sebuah kontena yang disyaki digunakan untuk menyeludup masuk pakaian tiruan berjenama, baru-baru ini.
Operasi pada waktu malam di sekitar Jalan Kenangan, di sini, dijalankan hasil risikan selama sebulan.
Ketika serbuan, kira-kira 20 orang lelaki warga asing sedang sibuk memunggah kotak-kotak yang mengandungi pelbagai jenis pakaian dari kontena untuk disimpan di sebuah premis jualan pakaian.
Siasatan awal mendapati, barangan itu dipercayai diimport dari Bangladesh sebelum dihantar oleh seorang ‘forwarding agent’ kepada empat hingga lima peniaga sekitar Jalan Kenanga untuk dijual secara borong serta runcit.
Untuk mengelak kegiatan mereka dikesan, sindiket penyeludupan ini dipercayai memilih hari pemunggahan barang secara rawak dan hanya dilakukan pada waktu malam.
Hasil pemeriksaan ke atas setiap kotak di dalam kontena, pihak berkuasa mengesan ribuan seluar jeans yang disyaki menggunakan cap dagangan secara salah.
704 muatan kotak yang memenuhi ruang kontena dikeluarkan dan diperiksa oleh pihak KPDN.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Nurul Syarina Md Anuar berkata 210 kotak berisi seluar jeans tiruan berjenama disusun di bahagian belakang kontena bagi mengelak dikesan sekiranya berlaku pemeriksaan secara rambang di pelabuhan.
“Susunannya dalam kontena tersebut dibuat untuk mengaburi mata pihak berkuasa. Biasanya, pemeriksaan secara rambang akan dilakukan pada bahagian depan kontena.
“Namun, kelicikan mereka berjaya dihidu dan anggota telah menyelongkar keseluruhan kontena serta mengenal pasti barangan tiruan tersebut di bahagian dalam,” jelasnya kepada 999.
Sehingga Julai tahun ini, sebanyak 91 kes melibatkan barangan tiruan berjenama direkodkan oleh KPDN Kuala Lumpur.
Operasi ini telah membawa kepada sitaan sebanyak 48,000 unit barangan bernilai RM2.7 juta.
Tonton laporan khas ‘KPDN Serbu Penyeludup fufu’ dan pelbagai rangkuman kes sepanjang minggu dalam program 999 malam ini di TV3.
Program 999 bersiaran setiap Selasa, jam 9 malam dan strim sekarang melalui Tonton!
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.