comscore
Tumpuan :
Nasional

KPDN serbu bengkel cat kereta kumpul minyak petrol secara haram

ALOR SETAR: Sebuah bengkel mengecat kenderaan di Jalan Sintok di daerah Kubang Pasu dipercayai menjadi stor pengumpulan minyak petrol secara haram.

Bagaimanapun, bengkel itu akhirnya diserbu pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah berdasarkan maklumat dan risikan yang dilakukan selama tiga minggu.

Serbuan itu dilakukan semalam sekitar jam 10 pagi dan hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 40-an berada di premis terbabit.

Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, pemeriksaan lanjut kemudian menemui sejumlah minyak petrol yang disimpan di dalam stor dan kenderaan yang berada di premis terbabit tanpa lesen atau permit yang sah.

Beliau berkata, berikutan itu, pasukan serbuan kemudian menyita sejumlah 1,200 liter minyak petrol (dianggarkan bernilai RM2,460), sebuah kereta Proton Saga, enam unit tong dram dan peralatan yang digunakan memindah barang kawalan itu.

Katanya, modus operandi yang dilakukan adalah dengan menggunakan kereta Proton Saga yang disita itu untuk melakukan pembelian di stesen minyak dan minyak yang diisi dalam tong dan dibawa ke stor terbabit.

“Ia bertujuan untuk mengelak kegiatan itu dikesan pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhammad Nizam berkata, jumlah sitaan keseluruhan dianggarkan bernilai RM7,860.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] dan hukuman bagi kesalahan ini adalah mana-mana orang jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya, bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.

“Lelaki tempatan yang dipercayai pemilik bengkel itu ditahan untuk diambil keterangan dan rekod percakapan sebelum dibebaskan ,” katanya.

Muhammad Nizam berkata, KPDN ingin mengingatkan mana-mana orang yang cuba menyalah gunakan barang kawalan bersubsidi akan diambil tindakan tegas dan pihaknya mengalu- alukan sebarang maklumat atau aduan dari orang awam berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi.

Beliau berkata, sebarang aduan, pengguna boleh menyalurkan kepada KPDN untuk tindakan selanjutnya melalui saluran-saluran seperti berikut iaitu Portal e-aduan 2.0 http://eaduan.kpdn.gov.my, Call Centre 1-800-886-800, E-mel [email protected] dan aplikasi EZ ADU KPDN.

“Selain itu, maklumat boleh disalurkan melalui Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-88826088/6245 atau WhatsApp 019-848 8000 dan 019-279 4317 serta Pejabat KPDN Kedah 04-7001745,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini