Tumpuan :
Nasional

KPDN Sarawak rampas barang kawalan bersubsidi lebih RM33,000

Oleh: Kadir Edison

LUNDU: Sebanyak 2,078 kilogram (kg) minyak masak dan 9,864 kg gula pasir kasar bersubsidi dianggarkan bernilai RM33,307.40 dirampas dalam serbuan ke atas sebuah premis di Kampung Stungkor, di sini, semalam.

Serbuan dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak, susulan aduan orang awam mengenai penyalahgunaan barang kawalan terbabit.

Pengarah KPDN Sarawak, Mathew Dominic Barin berkata, seorang lelaki tempatan dipercayai pemilik premis terbabit ditahan bagi siasatan lanjut.

“Serbuan tersebut dilakukan lima pegawai Penguatkuasa dari Seksyen Penguatkuasa KPDN Sarawak selepas melakukan risikan selama dua minggu di sebuah premis tanpa alamat di Kampung Stungkor, Lundu.

“Risikan itu dilakukan selepas pihak kita menerima aduan daripada orang ramai mengenai penyalahgunaan barang kawalan melibatkan gula dan minyak masak,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, siatan lanjut akan dilakukan terhadap rantaian pengedaran barangan kawalan iaitu minyak masak bersubsidi yang ditemui ketika serbuan terbabit.

Siasatan itu katanya dilakukan berdasarkan tiga label pembungkus utama yang terdapat pada kotak pembungkus minyak masak bersubsidi yang disita ketika serbuan berkenaan.

“Siasatan ini akan dijalankan di bawah Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki memindah, menyimpan, menyebabkan atau membenarkan apa-apa barangan kawalan dipindahkan atau disimpan selain dari mana-mana premis atau dibenarkan oleh pengawal,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini