Tumpuan :
Nasional

KPDN rampas kasut, selipar dan stokin jenama tiruan

Oleh: Naim Fitri Abu Bakar

GEORGE TOWN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang merampas pelbagai barangan jenama tiruan bernilai RM8,940 dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Chai Leng, semalam.

Pengarahnya, RS Jegan berkata, serbuan yang dilakukan sepasukan anggota penguatkuasa pada jam 12.40 tengah hari itu, adalah hasil maklumat dan risikan yang dijalankan beberapa hari lepas.

Menurutnya, serbuan terhadap rumah berkenaan menemukan sejumlah barangan berjenama Adidas, Nike, Louis Vuitton (LV) yang disyaki tiruan.

“Hasil pemeriksaan kita menemukan sebanyak 113 unit selipar, 32 unit kasut dan 123 unit stokin jenama Adidas pelbagai jenis dan saiz.

“Selain itu, 18 unit kasut dan 75 unit stokin berjenama Nike serta lima unit kasut jenama LV yang disyaki tiruan dengan nilai rampasan keseluruhannya dianggarkan berjumlah RM8,940,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jegan berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mana-mana orang yang mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalannya bagi maksud perdagangan atau pengilangan apa-apa barang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

“KPDN ingin memberi amaran kepada mana-mana orang yang cuba menjual barangan tiruan akan dikenakan tindakan tegas serta mengalu-alukan sebarang maklumat atau aduan dari orang awam bagi membantu membanteras aktiviti penjualan barangan tiruan ini,” katanya.

Loading...
Terkini