Tumpuan :
Nasional

KPDN rampas 112kg minyak masak peket bersubsidi

Anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang memeriksa minyak masak peket bersubsidi di sebuah restoran di Kuantan. – FOTO: Ihsan KPDN Pahang

KUANTAN: Sebuah restoran di daerah ini diserbu selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang menerima aduan restoran itu menggunakan minyak masak peket bersubsidi dalam menjalankan perniagaan, semalam.

Serbuan yang dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa kementerian pada jam 11.42 pagi itu menemukan 112 kilogram minyak masak peket di dalam premis melebihi had simpanan yang dibenarkan.

Pengarah KPDN negeri, Jezlily Jamaluddin, berkata siasatan lanjut juga mendapati pemilik premis restoran itu mempunyai Permit Barang Kawalan Berjadual yang masih sah.

“Bagaimanapun, restoran itu hanya dibenarkan untuk membeli dan menyimpan barang kawalan berjadual bukan subsidi sahaja.

“Berikutan itu sebanyak 112 kilogram minyak masak peket bersubsidi serta dokumen perniagaan lain yang berkaitan disita untuk tujuan siasatan.

“Satu kertas siasatan dibuka dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 iaitu memiliki barang kawalan berjadual melebihi had yang disyaratkan,” katanya dalam kenyataan media malam tadi.

Susulan kes terbabit, beliau berkata, kementerian itu memberi amaran keras terhadap individu atau syarikat berkaitan supaya mematuhi perundangan yang ditetapkan.

“KPDN juga mengalu-alukan maklumat daripada pengguna untuk bersama membantu menjadi mata dan telinga kementerian selaras dengan inisiatif ‘Kita Gempur’ iaitu pelaksanaan langkah strategik kerajaan.

“Langkah itu untuk menangani isu manipulasi dalam aktiviti perniagaan dan ketirisan yang membabitkan barang kawalan serta barang kawalan bersubsidi.

“Sebarang aktiviti mencurigakan oleh peniaga boleh dilaporkan melalui pelbagai medium penyaluran aduan yang disediakan KPDN,” katanya lagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini