Tumpuan :
Nasional

KPDN perkukuh SOP siasatan isu beras campuran

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperkukuh prosedur operasi standard (SOP) siasatan berkaitan isu percampuran beras putih import (BPI) dengan beras putih tempatan (BPT) di pasaran.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata penguatkuasaan akan dilakukan di bawah Seksyen 5, Akta Perihal Dagangan (APD) 2011 bagi mengenal pasti mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti perihal dagangan palsu, termasuk pemalsuan kandungan, jenis dan pelabelan beras.

Beliau menjelaskan bahawa antara kesalahan yang akan diteliti adalah perbuatan menukar bungkusan atau label beras yang boleh mengelirukan pengguna.

“Dalam menguatkuasakan Akta 730, analisis sampel beras menjadi aspek penting dalam penentuan ketulenan BPI dan BPT.

“Memandangkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mempunyai kepakaran dalam Teknologi Pencapjarian DNA beras, KPDN akan merujuk MARDI sebagai pihak berwibawa (competent authority),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, SOP siasatan akan merangkumi semua aspek, termasuk pengurusan eksibit sampel beras dan kebolehterimaan (admissibility) bahan bukti di mahkamah.

“Selain MARDI, KPDN juga akan memperkukuh kerjasama strategik dengan Jabatan Kimia Malaysia.

“KPDN komited untuk melaksanakan tindakan penguatkuasaan bagi menangani isu percampuran beras secara tidak sah melalui kesalahan berkaitan perihal dagangan palsu,” katanya.

Tegasnya, langkah itu bertujuan melindungi kepentingan pengguna serta menyokong Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam usaha menambah baik industri padi dan beras negara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini