Oleh: Kumaran Rajamoney
TELUK INTAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengesan sebuah kilang biskut membungkus produk biskut dengan penandaan halal meskipun tiada dalam senarai Sijil Halal.
Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail memaklumkan, kesemua 35 bungkusan produk biskut itu telah disita.
“KPDN turut menyita bungkusan kosong yang dicetak logo halal dan beberapa dokumen berkaitan bagi tujuan siasatan lanjut. Nilai rampasan dianggarkan berjumlah kira-kira RM620.
“Pemeriksaan juga mendapati premis ini sebenarnya memiliki sijil halal yang sah bagi 26 jenis produk makanan biskut dan roti yang dikilang untuk jualan. Namun begitu, selepas pemeriksaan lanjut mendapati terdapat satu produk makanan yang dikilangkan dan ditawarkan untuk jualan di premis ini tiada dalam senarai Sijil Halal,” katanya.
Pemeriksaan itu katanya dijalankan sekitar jam 11 pagi semalam, di Jalan Pasar di sini.
Kes disiasat di bawah Perintah (8)(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
Masyarakat disarankan untuk menyalurkan maklumat maklumat berhubung produk makanan yang dicurigai status penandaan logo halal kepada pihak KPDN.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.