JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mempergiat siasatan di semua peringkat perniagaan terutama premis di kawasan pedalaman bagi mengenal pasti isu gangguan bekalan minyak masak bersubsidi yang berlaku kebelakangan ini.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata siasatan turut menumpukan kegiatan penyelewengan dan penyeludupan ke luar negara.
Beliau berkata, pemantauan di pintu sempadan terutama di utara negara, selain Sabah dan Sarawak juga akan dipertingkat bagi mengekang kegiatan penyeludupan minyak masak bersubsidi.
“Ops Terjah yang dilaksana sehingga 16 Januari tahun depan, membolehkan KPDN turun padang seterusnya mengambil tindakan ke atas pemborong atau peruncit yang didapati menyeleweng minyak masak paket bersubsidi.
“Saya berharap operasi terjah ini yang berlangsung selama satu bulan berakhir 16 Januari depan akan dapat mengenal pasti punca masalah dan bertindak segera kepada pembekal atau pemborong dan menguatkuasakan undang-undang sekiranya berlaku penyalahgunaan kuasa atau penyelewengan.
“Malah ia juga bagi memastikan minyak masak itu sampai kepada golongan sasar,” katanya ketika sidang media pada majlis sumbangan bencana mangsa ribut di sini.
Salahuddin berkata, mengikut data, keperluan nasional bagi minyak masak adalah 60,000 metrik tan sebulan.
Sementara itu, Salahuddin berkata, sebanyak 11 barangan dikenal pasti pihaknya dan akan ditentukan harga ketika perayaan Krismas.
“Bagi Krismas, kita akan membuat pengumuman pada 20 Disember ini, manakala Tahun Baru Cina pula pada 17 atau 18 Januari depan,” katanya.