comscore
Tumpuan :
Nasional

KPDN pantau harga barangan dan keperluan sekolah

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui jabatan penguatkuasanya sedang giat melaksanakan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan ke atas harga pakaian dan keperluan sekolah menerusi OPS CATUT 2023 (Back to school) bermula Isnin minggu ini sehingga esok.

Bahagian penguatkuasa KPDN dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan statistik penguatkuasaan setakat Selasa lalu, sebanyak 245 premis diperiksa di seluruh negara membabitkan 1,380 jenis barangan pakaian dan keperluan sekolah.

Katanya, sebanyak 245 notis pengesahan maklumat barangan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dikeluarkan kepada peniaga yang berkaitan bagi mendapatkan maklumat awal sama ada berlaku sebarang peningkatan harga bagi barangan yang diperiksa disamping mengesan sekiranya wujud peningkatan peratusan untung bagi jualan barangan terbabit berbanding tahun sebelum ini.

Dalam pada itu, KPDN memaklumkan bahawa pihaknya tidak mengawal harga pakaian. Penentuan harga maksimum bagi barangan harga terkawal atau barangan keperluan pada musim-musim perayaan dilaksanakan dalam tempoh tertentu.

“Setakat semalam, tiada sebarang aduan yang diterima membabitkan kenaikan harga pakaian sekolah dan alat tulis.

“Walaupun begitu, KPDN akan terus melaksanakan pemantauan harga pakaian atau keperluan sekolah sebelum musim persekolahan bermula.

“Ia bagi mengesan sekiranya berlaku peningkatan harga dan peratus untung bagi jualan barangan terbabit selain mengesan sekirannya terdapat elemen mengambil keuntungan secara tidak munasabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

KPDN berkata, aktiviti mencatut adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 14(1), Akta Kawalan Harga dan AntiPencatutan (AKHAP) 2011.

Katanya, KPDN akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang mengambil keuntungan secara tidak munasabah dengan mencatut dalam penentuan harga jualan barangan termasuk pakaian dan keperluan sekolah.

“Disamping itu, pengguna juga perlu memahami bahawa sebarang perubahan atau peningkatan harga yang berlaku bagi sesuatu barangan adalah disebabkan pelbagai faktor.

“Antaranya kenaikan kos operasi seperti bahan mentah, utiliti, gaji pekerja dan sebagainya.

“Sekiranya sesuatu barangan atau bahan mentah diimport, ia juga akan membabitkan kadar pertukaran mata wang asing,” katanya.

Namun, ini bukan alasan bagi peniaga untuk menaikkan harga barangan terutamanya pakaian dan keperluan sekolah secara mendadak serta mengambil keuntungan secara tidak munasabah sehingga membebankan pengguna.

Justeru, KPDN menyarankan pengguna untuk sentiasa bijak dalam berbelanja termasuklah ketika membeli pakaian dan keperluan sekolah dengan membuat perbandingan harga.

“Pengguna juga disarankan untuk menggunakan sepenuhnya hak mereka sebagai pengguna agar tidak mudah diperdaya dan dimanipulasi oleh segelintir pihak yang ingin mengambil kesempatan di dalam situasi ekonomi yang tidak menentu ini,” katanya.

Loading...
Terkini