Oleh Kumaran Rajamoney
ALOR SETAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memulakan kajian bagi memperhalusi insentif kepada peniaga yang terlibat dalam pelaksanaan inisiatif Menu Rahmah yang diperkenalkan kerajaan Februari lalu.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, empat hingga enam bulan pasca pelaksanaan inisiatif adalah tempoh yang tepat dalam membuat kajian dan melihat ruang pembaikan yang boleh dijalankan pada masa hadapan.
“Kita akan dapatkan fakta yang bertanggungjawab yang meliputi lokasi dan bentuk menu yang ditawarkan peniaga. Ia akan turut melibatkan proses menemuduga peniaga mengenai bentuk bantuan yang diperlukan.”
“Ketika ini dapatan menunjukkan harga menu rahmah menunjukkan ia menjadi tarikan pelanggan, dan mampu menjana keuntungan. Jadi ini antara fakta yang kita sedang teliti dengan penuh bertanggungjawab. Kita faham ini adalah isu melibatkan keperluan peniaga dan rakyat.”
Tambah Datuk Seri Salahuddin, sejumlah 1148 peniaga bazar Ramadan yang ditemubual setakat ini menyifatkan ada peningkatan hasil jualan menerusi pengenalan Menu Rahmah.
“70 peratus peniaga memaklumkan menerima keuntungan, manakala selebihnya itu ada keuntungan tetapi tidak pada kadar yang dijangka.”
Kajian secara komprehensif ini katanya akan turut melibatkan pelbagai inisiatif Rahmah yang lain termasuk Bakul Rahmah.
Datuk Seri Salahuddin berkata demikian selepas merasmikan Program Semarak Niaga SSM dan menyampaikan sumbangan Wakalah Zakat Korporat berjumlah RM100,000 kepada 500 penerima daripada golongan asnaf yang turut dihadiri Pengarah SSM Kedah, Ismanani Khazali di sini, hari ini.
SSM katanya menyasarkan 20,000 orang dari golongan B40 termasuk pelajar didaftarkan melalui Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP) sehingga hujung tahun ini.
Bermula 1 Januari lalu hingga setakat ini, seramai 13,255 pelajar sepenuh masa institusi pengajian tinggi (IPT) telah berjaya mendaftarkan perniagaan mereka secara percuma melalui skim berkenaan.