LUMUT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, (KPDN) meminta pengeluar susu formula bayi dan kanak-kanak untuk memberi laporan pergerakan harga dalam tempoh enam bulan.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, langkah itu diambil susulan rungutan orang ramai yang mendakwa berlaku kenaikan harga bagi barangan berkenaan.
“Saya telah mintak pihak pengusaha beri laporan dalam tempoh 6 bulan tentang pergerakan harga. KPDN akan teliti dan kita akan ambil beberapa inisiatif bagaimana kita mendepani sekiranya benar-benar berlaku kenaikan harga susu formula bayi dan kanak-kanak.
”Tapi setakat harga yang saya lihat hari ini, jenama biasa masih lagi dijual pada kadar berpatutan,” katanya selepas meninjau harga barangan berkenaan di sebuah pasaraya di sini hari ini.
Tambah beliau, sekiranya benar terdapat kenaikan harga, pihaknya akan mengadakan libat urus dengan pihak terbabit bagi menangani isu itu.
Sejak dua minggu lalu, media melaporkan dakwaan kenaikan harga susu formula kanak-kanak antara 10 hingga 30 ringgit sehingga mencetuskan kegelisahan terutama dalam kalangan ibu bapa.
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Datuk Seri Salahuddin berkata, perbincangan akan dilakukan dengan Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa bagi membincangkan kenaikan harga susu formula untuk pesakit kanser.
“Saya difahamkan KKM beli secara pukal, banyak, sekali beli beberapa kontena. Saya akan cuba berbincang dengan Dr Zaliha, Menteri Kesihatan supaya rakyat biasa boleh beli di hospital kerajaan. Mungkin harganya ada sedikit rendah”.
Media melaporkan, harga susu itu yang dulunya dijual pada harga RM78 meningkat kepada RM80, RM82, RM88, RM90 dan terkini RM94 secara berperingkat yang secara tidak langsung membebankan pesakit terutama mereka yang tiada sumber pendapatan.