Tumpuan :
Nasional

KPDN minta MoF pertimbang dua perkara dalam Belanjawan 2024

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memohon Kementerian Kewangan (MoF) mempertimbang dua aspek dalam Belanjawan 2024 termasuk pengukuhan inisiatif perlindungan sosial.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelan rasionalisasi subsidi perlu hadir bersama-sama pengukuhan perlindungan sosial terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana dengan menekankan faktor tanggungan isi rumah.

“Kita khuatir sekiranya tidak ditambah baik aspek perlindungan sosial ini sudah pasti akan membebankan dari segi kos sara hidup tersebut. Jadi dasar subsidi bersasar bukan hanya bentuk subsidi perlu disasarkan tetapi ia juga perlu sampai kepada golongan sasar dan perlu hadir bersama penambahbaikan perlindungan sosial kepada masyarakat,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Sijil Kelulusan Pendaftaran Francais dan Lesen Jualan Langsung, di sini hari ini.

Sementara itu, tambah beliau,  cabaran yang dihadapi KPDN adalah berkaitan harga barangan keperluan.

Justeru, perkara kedua yang diminta kepada kerajaan adalah melakukan lonjakan dalam peningkatan keterjaminan makanan menerusi penghasilan domestik.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) itu, pendekatan sebelum ini yang diguna pakai adalah mendapatkan bekalan import  yang dianggap lebih murah berbanding menghasilkan barang makanan di peringkat domestik.

“Namun kita melihat dalam landskap semasa, cabaran dihadapi seperti geopolitik dan sebagainya, terdapat faktor yang mempengaruhi kadar harga barangan di luar kawalan kerajaan.

Jadi sudah tiba masanya kerajaan lebih fokus, lebih agresif dalam aspek memastikan wujudnya keterjaminan bekalan makanan rakyat yang diperolehi daripada penghasilan domestik,” kata beliau.

Belanjawan 2024 dijadual dibentang bagi bacaan kali kedua oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan di Dewan Rakyat pada jam 4 petang, Jumaat ini.

Loading...
Terkini