comscore
Tumpuan :
Nasional

KPDN lancar inisiatif Ihsan Cashback, i-Mesra, beri manfaat buat peniaga & pengguna

Oleh: Kumaran Rajamoney

IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan dua inisiatif bagi membantu rakyat mengurangkan beban kos sara hidup dan meningkatkan daya saing peniaga tempatan.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, inisiatif terkini sektor swasta di bawah inisiatif Ihsan Rahmah Madani (IRM), iaitu program Ihsan Cashback dan i-Mesra.

“Ihsan Cashback adalah program cashback ‘e-Wallet’ yang memberi pulangan wang atas pembelian melalui rangkaian rakan kongsi. Matlamatnya untuk membantu pengguna menjimatkan perbelanjaan, meningkatkan daya beli dalam ekonomi Malaysia dan mengekalkan sokongan kepada peniaga tempatan.”

“Antara ciri-ciri penting termasuk pendaftaran mudah, rangkaian luas, proses penebusan ganjaran yang fleksibel, penebusan saluran silang untuk pelbagai perkhidmatan di Malaysia serta sektor makanan dan minuman,” katanya.

Sistem i-Mesra pula katanya merupakan platform pengurusan perniagaan digital yang menyokong Perniagaan Mikro, Kecil, dan Sederhana (PMKS) terutamanya dalam sektor makanan dan minuman.

Kedua-dua inisiatif ini diharap memberi manfaat kepada pengguna dan peniaga bagi semua sektor dan perkhidmatan di Malaysia.

“Sektor makanan dan minuman yang menggunakan platform i-Mesra boleh menawarkan promosi khas atau cashback kepada pengguna yang menggunakan Ihsan Cashback. Ia dijangka dapat meningkatkan daya tarikan perniagaan mereka.”

“Gabungan dua inisiatif ini diharapkan dapat membantu pengguna mengurangkan beban kos sara hidup ketika berbelanja harian dan seterusnya merangsang peniaga tempatan untuk memperluaskan pasaran mereka selaras dengan insiatif KPDN di bawah ’Kempen Beli Barangan Malaysia’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketiak ditemui pada Majlis Perasmian Penutup Karnival KPDN Zon Tengah dan Festival Pengguna Tahun 2024, di Stadium Indera Mulia, di sini hari ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini