Tumpuan :
Nasional

KPDN kenal pasti lokasi stesen minyak tanpa subsidi di sempadan Pengkalan Hulu – Thailand

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang mengenal pasti lokasi bersesuaian untuk perluasan program stesen minyak tanpa subsidi di kawasan berhampiran sempadan Pengkalan Hulu, Perak – Thailand.

Ketua Setiausahanya, Datuk Azman Mohd Yusof berkata, itu antara tujuan beliau mengadakan lawatan kerja ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Berapit, Pengkalan Hulu, semalam.

“Isu penyelewengan barang kawalan bersubsidi di sempadan antarabangsa Malaysia yang terdiri daripada Thailand, Indonesia, Brunei dan Singapura merupakan salah satu perkara utama yang menjadi perhatian oleh pihak kementerian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Azman berkata, tujuan lawatan kerja itu juga adalah bagi melihat sendiri situasi semasa di pintu sempadan negara khususnya di sempadan Pengkalan Hulu.

Lawatan kerja turut diadakan untuk mengeratkan kerjasama pihak KPDN bersama agensi penguatkuasaan khususnya pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Negeri Perak terutama dari segi aspek kawalan serta tindakan penguatkuasaan di pintu sempadan negara berkaitan barang kawalan dan bersubsidi.

“Antara perkara yang diberikan perhatian dalam lawatan kerja berkenaan adalah berhubung penguatkuasaan Ops Tiris bagi membanteras aktiviti penyelewengan atau penyeludupan barang kawalan bersubsidi melalui pintu sempadan Pengkalan Hulu – Thailand khususnya melibatkan minyak diesel bersubsidi,” katanya.

Sementara itu, KPDN mengingatkan peniaga agar lebih bertanggungjawab apabila berurus niaga dengan barang kawalan dan bersubsidi serta amaran keras kepada mana-mana individu mahupun syarikat supaya tidak melanggar undang-undang.

Azman berkata, masyarakat juga digalakkan untuk bersama-sama membantu kerajaan dengan menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa untuk menyalurkan maklumat dan aduan berhubung isu penyelewengan atau penyeludupan barangan kawalan serta bersubsidi.

Loading...
Terkini