
Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan
SEPANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengeluarkan 22 kompaun bernilai RM6,600 atas pelbagai kesalahan sepanjang Ops Pantau yang dilakukan ketika bulan Ramadan.
Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, Perak mencatatkan jumlah kompaun tertinggi, diikuti Selangor, Sabah dan Johor dengan masing-masing tiga kompaun.
“Kita telah pun melaksanakan 3,275 pemeriksaan, di mana kita dapat 22 kes, 116 aduan dan keseluruhan kompaun bernilai RM6,600.
“Nilai rampasan pula bernilai RM900,” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Bazar Ramadan Rahmah Madani, di Bazar Ramadan Kota Warisan, Sepang sebentar tadi.
Terdahulu, Perdana Menteri menerusi taklimat hariannya meminta KPDN untuk meningkatkan pemantauan harga makanan di Bazar Ramadan bagi mengelakkan pihak tertentu mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak wajar.
“KPDN telah pun melancarkan Ops Pantau untuk memantau antaranya bazar Ramadan. Tetapi kita juga memantau pasar-pasar, supermarket, dan sebagainya.
“Bukan itu sahaja, kita juga memantau alat penimbang bagi memastikan ia masih sah dan boleh digunakan.
“Ini menunjukkan penguat kuasa kita secara aktif turun padang untuk memastikan tidak ada pihak menaikkan harga dan melaksanakan aktiviti seperti tidak letak harga dan sebagainya,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.