Tumpuan :
Nasional

KPDN Kelantan rampas lebih RM6.8 juta barangan seludup dan kawalan

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail hadir memeriksa tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga kawalan selepas merasmikan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2024 di Pasar raya Lotus, Lembah Sireh, di sini, hari ini. – FOTO: NSTP

KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan merekodkan rampasan bernilai lebih RM6.8 juta membabitkan 1,025 kes sejak Januari lalu sehingga kini.

Pengarahnya, Azman Ismail berkata, semua kes itu membabitkan kesalahan penyelewengan, penyeludupan, barangan tiruan dan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum, gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga kawalan serta tidak meletakkan tanda harga pada barangan yang dipamerkan untuk jualan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Bermula Januari sehingga kini, katanya, sebanyak 79,242 pemeriksaan dilaksanakan di seluruh negeri membabitkan pelbagai pemeriksaan, operasi, dan pemantauan.

“Pemantauan dan pemeriksaan yang dijalankan di premis membabitkan seramai 141 pegawai penguat kuasa dan 85 pegawai pemantau harga di seluruh negeri.

“Pada masa sama, kita turut menahan 210 individu membabitkan seramai 189 lelaki dan 21 wanita termasuk 13 individu bukan warga negara yang ditahan di kawasan sempadan iaitu di Pasir Mas, Rantau Panjang, Tumpat dan Tanah Merah dengan nilai denda RM150,000,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2024 di Pasar raya Lotus, Lembah Sireh, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Progran Jualan Rahmah Madani semasa perayaan Krismas juga diadakan di 12 pasar raya utama di seluruh negeri termasuk Pasar raya Mydin, Pantai Timur Hypermarket Taman Bendahara, Econjaya Kok Lanas, Pasar raya Pantai Timur Jelawat, Giant Tunjong dan Aeon Mall Kota Bharu.

Dalam perkembangan lain, Azman berkata, sejak penguatkuasaan larangan rentas sempadan menggunakan pangkalan haram dilaksanakan pada 1 Disember lalu, ia secara tidak langsung membantu mengekang aktiviti penyeludupan.

Katanya, bagi pihak KPDN penegasan yang dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah satu tindakan yang terbaik.

“Sepanjang larangan rentas dikuatkuasakan, ada beberapa individu yang ditahan disebabkan menggunakan pangkalan haram untuk menyeberangi sempadan negara Thailand di sepanjang Sungai Golok.

“Aktiviti penyeludupan masih berlaku, namun ia tidak serancak seperti sebelum ini dan kebetulan ketika dilaksanakan Kelantan dilanda banjir menyebabkan berlaku limpahan air Sungai Golok,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini