comscore
Tumpuan :
Nasional

KPDN Kelantan lupus barang kes bernilai lebih RM600,000

FOTO: NSTP

BACHOK: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan melupuskan pelbagai barangan melibatkan 99 kes dengan nilai rampasan dianggarkan RM607,000.

Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail berkata pelupusan itu, melibatkan barangan rampasan sejak Jan tahun lepas hingga kini yang telah selesai menjalani proses mahkamah dan arahan pengawal untuk dilupuskan termasuk kenderaan.

Beliau berkata barangan rampasan berkenaan melibatkan lima akta berkaitan iaitu Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Timbang dan Sukat 1972, Akta Cap Dagangan 2019 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999.

“Untuk hari ini sahaja sebanyak 19 kes dilupuskan dengan nilai lebih RM200,000 melibatkan barangan antaranya pakaian tiruan, wangian, aksesori pakaian wanita, peralatan komputer dan beg tiruan.

“Terdapat beberapa kaedah pelupusan barangan rampasan termasuk melupuskan secara terus dan ada sebahagian (kenderaan) ia diberikan sebagai pemberian kepada golongan yang memerlukan contohnya bomba dan pusat vokasional untuk tujuan mereka membuat latihan,” katanya dalam sidang media Program Pelupusan Barang Kes di Stor Penyimpanan KPDN Kelantan, di Kandis di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Azman berkata setakat ini sebanyak 60 kenderaan yang dirampas telah dilupuskan kerana menyalahi undang-undang termasuk melakukan pengubahsuaian di kenderaan dan terdapat tangki minyak tambahan.

Beliau berkata lebih 600 kenderaan dalam proses untuk dilupuskan melibatkan kes bagi 2023 hingga tahun ini. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini