Oleh: Selwam Arjunan
JITRA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah nenyerbu tiga pasar raya di tiga daerah di negeri ini dan merampas 1,049 botol cecair pencuci pakaian jenama tiruan bernilai hampir RM20,000.
Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata operasi itu dilakukan serentak membabitkan KPDN Alor Setar, Cawangan Sungai Petani dan Cawangan Baling pada jam 11 pagi tadi.
Beliau berkata, operasi di ketiga-tiga pasar raya itu turut disertai oleh wakil pemilik cap dagangan berdaftar cecair pencuci pakaian berkenaan.
“Secara keseluruhannya, kami telah merampas 1,049 botol cecair pencuci pakaian tiruan yang dijual di ketiga-tiga pasaraya terbabit bernilai RM19,897.
“Sebanyak 572 botol dirampas di Sungai Petani, 283 botol dirampas di Kota Setar dan 194 botol dirampas di Baling,” katanya dalam sidang media di stor KPDN Kedah di Tunjang dekat sini, hari ini.
Muhammad Nizam berkata, jika dilihat dari mata kasar, pelekat dan botol digunakan kelihatan hampir sama.
Bagaimanapun, jika diteliti dengan lebih rapi, botol cecair pencuci yang asli mempunyai pelekat lebih licin manakala label pada botol palsu kelihatan sebam.
“Pengguna juga dapat mengesan perbezaannya melalui bau kerana bau cecair pencuci pakaian yang palsu itu tidak sewangi produk asli malah ada antaranya tidak berbau wangi langsung.
Siasatan awal mendapati ketiga-tiga pasar raya itu mendapatkan bekalan cecair pencuci pakaian itu dari ejen yang sama.
Siasatan lanjut kini masih dilakukan di bawah Akta Cap Dagangan 2019.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.