Tumpuan :
Nasional

KPDN Kedah letak pegawai menyamar pantau peniaga menjelang Krismas

Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin. – FOTO: NSTP

ALOR SETAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah akan menempatkan pegawai untuk melakukan penyamaran di premis perniagaan sepanjang Skim Harga Maksimun Musim perayaan (SHMMP) 2024 sempena Sambutan perayaan Krismas ini.

Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, langkah itu bertujuan untuk membendung salah laku peniaga daripada menaikkan harga sesuka hati serta menyorok barang kawalan ketika musim perayaan.

Beliau berkata, jika pihaknya menerima aduan daripada pengguna berkaitan kenaikan harga mendadak atau sorok barang, pihaknya akan melakukan penyamaran terlebih dahulu sebelum pemeriksaan dilakukan.

“Sehubungan itu, saya memberi amaran tegas kepada peniaga supaya tidak menyorok bekalan terutamanya minyak masak dan barangan lain.

“Kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya didapati ada peniaga yang melakukan kesalahan berkenaan.

“Pegawai KPDN Kedah sentiasa ada di mana-mana, oleh itu jangan ada peniaga yang melakukan kesalahan walaupun ketika bukan musim perayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sewaktu melakukan pemantauan SHMMP 2024 di Pasaraya Mydin Taman Saga, Alor Mengkudu, hari ini.

Muhammad Nizam berkata, SHMMP 2024 bermula lima hari iaitu pada hari ini sehingga 27 Disember ini iaitu dua hari sebelum perayaan, sehari pada hari perayaan dan dua hari selepas perayaan.

Katanya, hanya sembilan daripada 14 jenis barangan yang dikawal di negeri ini iaitu daging kambing biri-biri bertulang import, kubis bulat import, lobak merah, tomato, cili merah, lada benggala hijau, bawang merah besar import, bawang kuning besar import dan ubi kentang import (China).

Menurutnya lagi, lebih 180 pegawai penguat kuasa KPDN Kedah akan ditugaskan di lokasi seperti pasar awam, pasar tani, dan pusat beli belah barangan keperluan perayaan untuk pemeriksaan.

Katanya, sepanjang tahun ini, KPDN Kedah menerima 1,693 aduan dan daripada jumlah itu, sebanyak 137 aduan berkaitan minyak masak manakala 228 berkaitan aduan barang kawalan lain.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, lapan kes berkaitan minyak masak sudah diambil tindakan yang membabitkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 manakala enam kes dihasilkan daripada aduan kenaikan bagi kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Muhammad Nizam berkata, bagi kesalahan gagal meletakkan tanda merah jambu bagi barangan harga terkawal pula boleh didenda di mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 bagi individu manakala syarikat pula boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini