comscore
Tumpuan :
Nasional

KPDN kaji semula perundangan e-dagang

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang melaksanakan Kajian Semula Perundangan e-dagang bersama pasukan perunding.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata kajian berkenaan dijangka selesai pada suku kedua tahun hadapan.

“Kita melihat perlunya untuk kita membuat semakan untuk memperkukuhkan kerangka perundangan berkaitan dengan e-dagang sedia ada.

“Pertama kita melihat kepada kerangka perundangan sedia ada khususnya tiga undang-undang yang berkaitan termasuklah Akta Perlindangan Pengguna 1999, begitu juga dengan Akta Perdagangan Elektronik 2006 dan juga Peraturan Perlindungan Pengguna (Transaksi Perdagangan Elektronik) 2012.

“Sektor e-dagang ini juga terangkum dengan Akta Kontrak dan juga Akta Jualan Barangan, jadi pelbagai akta terkait dengan sektor e-dagang, kita melihat perlu untuk membuat semakan,” katanya

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penutupan Shopee Seller Summit 2024 di sini hari ini.

Katanya, usaha memperkukuh kerangka perundangan itu bertujuan meningkatkan perlindungan dan juga hak kepenggunaan.

Tambah Armizan, inisiatif itu turut dibuat dalam membantu mewujudkan ekosistem yang lebih kondusif untuk pembangunan sektor e-dagang.

“Kita telah mula bekerjasama dengan pasukan perunding yang telah kita lantik pada bulan Mei 2024 yang lepas, kita bagi mereka garis masa setahun untuk membuat kajian untuk melaksanakan beberapa siri libat urus dengan semua pihak termasuklah komuniti peniaga kita yang sedia ada di platform e-dagang, penyelia platform dan sebagainya.

“Selepas tempoh tersebut mereka akan mengemukakan dapatan kajian, sama ada kita perlu untuk mengemukakan atau mewujudkan satu perundagan atau akta khusus, ataupun membuat pindaan terhadap akta sedia ada,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini