JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor melupuskan pelbagai barangan kes yang dianggarkan bernilai RM2.1 juta membabitkan 152 kertas siasatan yang telah selesai sejak Januari lalu.
Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, semua barangan kes itu yang dirampas di kedai, stor dan kilang temasuk daripada pemborong serta peruncit dilupuskan selepas mendapat keizinan mahkamah.
“Aktiviti pelupusan ini adalah yang terakhir bagi tahun 2024 membabitkan 45,374 unit barangan pelbagai jenama.
“Antaranya seperti pakaian, aksesori telefon, jam tangan, beg tangan, produk makanan, kasut, helmet dan baju hujan,” katanya pada sidang media Program Pelupusan Ekshibit di Kompleks Penyimpanan Ekshibit KPDN Senai, Johor hari ini.
Terdahulu, pada sebelah pagi, KPDN turut melupuskan pelbagai barangan kes yang dianggarkan bernilai RM113,652 daripada 23 kes yang diselesaikan bagi tahun 2021 hingga tahun ini.
Semua barangan tersebut katanya, dirampas atas kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Cap Dagang 2019, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, Akta Kawalan Bekalan 1964 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999.
Sepanjang tahun ini KPDN Johor menyelesaikan 1,287 kes dengan jumlah nilai sitaan sebanyak RM29.7 juta.
Dalam tempoh sama, tindakan penguatkuasaan yang dilakukan merekod hasil kutipan kompaun dan denda sebanyak RM1.33 juta.
Justeru peniaga di negeri itu dinasihatkan supaya mematuhi segala undang-undang perniagaan yang telah ditetapkan kementerian berkaitan penjualan dan pengedaran barangan tiruan.