Tumpuan :
Nasional

KPDN jamin bekalan keperluan asas mencukupi untuk Ramadan, Hari Raya

Oleh: Kadir Edison

KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan semua bekalan barangan keperluan asas menjelang Ramadan bulan hadapan adalah mencukupi dan terkawal.

Jaminan itu diberikan berdasarkan pemantauan berterusan KPDN yang bermula dari peringkat pengeluar, pemborong, dan peruncit di seluruh negara.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, isu kekurangan bekalan terutamanya bawang, berlaku disebabkan terdapat sekatan import daripada pengeluar barang terbabit.

Bagaimanapun, perkara itu sudah diatasi, selain keperluan logistik untuk membawa masuk bekalan barangan keperluan asas berkenaan yang kini sudah beroperasi seperti biasa.

“Jadi, itu memastikan bahawa bekalan itu mencukupi dan ada, telur, minyak masak paket, gula tidak ada masalah setakat ini. Kemudian, sayur, buah, kurma, itu semua kita dah tengok, terutamanya bawang. Ia merupakan bahan asas apabila hendak memasak.

“Namun, saya lihat bekalan itu ada, bawang Spain, bawang Holland, bawang Bombay, semua ada, dari China pun ada, jadi ada kepelbagaian, ada pilihan dan harga pun agak murah serta berpatutan,” katanya.

Beliau ditemui pada program turun padang penguatkuasaan KPDN Sarawak di Kuching.

Menurutnya KPDN juga akan bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi memastikan kesemua bekalan asas mencukupi untuk sambutan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Jelasnya, selain bekalan bawang, bekalan kelapa dan santan juga tidak berdepan sebarang masalah kekurangan di semua rantai bekalan.

Bagaimanapun, menerusi pemantauan yang dilakukan, terdapat peningkatan harga bagi bekalan barangan itu yang dikesan di Semenanjung Malaysia.

Justeru, KPDN katanya telah membuka tiga kertas siasatan untuk mengenal pasti punca kenaikan terbabit, seterusnya melaksanakan langkah berkaitan bagi mengawal keberadaan bekalan barangan berkenaan.

Loading...
Terkini