Tumpuan :
Nasional

KPDN, JAKIM pertimbang keperluan hukuman lebih tegas penyalahgunaan logo halal

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali. – Foto fail

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) sedang berbincang dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi melihat keperluan untuk meningkatkan hukuman kesalahan berkaitan penyalahgunaan logo halal.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata terdapat syor daripada pelbagai pihak supaya hukuman itu ditingkatkan kerana ia isu itu amat sensitif dan penting, terutama bagi masyarakat Islam.

“Selain itu, setakat ini siasatan tertentu menjurus kepada usaha mengenal pasti sumber di peringkat awal yang melakukan kesalahan menyalahgunakan logo halal itu, namun kita juga sedang mempertimbang supaya tindakan diambil kepada pihak yang membuat kesilapan untuk tidak menyemak (pengesahan logo halal) kerana kebertanggungjawaban itu juga perlu di pelbagai peringkat.

“Itu juga dalam perkara yang sedang kita bincangkan bersama dengan JAKIM supaya tidak ada pihak yang lepas tangan dalam tanggungjawab dengan mudah tanpa membuat semakan terhadap produk yang dibawa, yang mempunyai logo halal untuk memastikan logo itu benar-benar sah dan diperakui JAKIM,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi KPDN di Dewan Rakyat, hari ini.

Di bawah peraturan Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011, sesebuah syarikat yang didapati menyalahgunakan logo halal boleh dikenakan denda sehingga RM5 juta, manakala untuk individu, denda tidak lebih RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun.

Berdasarkan Akta Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, penalti bagi pertubuhan perbadanan yang disabitkan kesalahan menyalah guna logo halal akan dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM200,000 dan tidak lebih RM500,000 bagi kesalahan berikutnya.

Armizan menjelaskan, KPDN bertanggungjawab dalam aspek penguatkuasaan dan pihaknya sentiasa melaksanakan kerjasama dengan JAKIM untuk membuat hebahan umum, pemeriksaan halal, operasi khas, pemantauan platform e-dagang.

Katanya, Perbadanan Harta Intelek (MyIPO) bertanggungjawab memastikan setiap permohonan cap dagang diterima dan diteliti sewajarnya bagi memastikan tiada penyalahgunaan nama, istilah perkataan, label dan elemen yang boleh dikaitkan dengan Islam, seperti logo kubah masjid, Kaabah, bulan sabit, bintang, simbol atau tulisan yang boleh dikaitkan dengan Islam, termasuk ayat suci Al-Quran pada produk dan perkhidmatan yang diniagakan peniaga bukan Islam jika digunakan bagi tujuan memperdaya dan mengelirukan pengguna Islam.

“Kita akan sentiasa membuat penguatkuasaan namun apa yang penting, kebertanggungjawapan di seluruh peringkat.

“Kita juga mengharapkan pasar raya memainkan peranan dengan menyemak sumber bekalan produk yang dimasukkan di semua peringkat, sama ada pemborong dan peruncit perlu menyemak portal Halal Malaysia yang dikendalikan JAKIM untuk membuat semakan barangan status halal yang diguna pakai oleh mana-mana premis sekali pun,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini