Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Stor haram yang disyaki dijadikan premis bagi menyimpan dan mengedar gas petroleum cecair (LPG) di Kulai, Johor Bahru, Johor diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, pemeriksaan awal mendapati premis tersebut terletak di belakang sebuah rumah ibadat dan ditutupi dengan pagar zink.
Menurutnya, hasil pemeriksaan dalam serbuan yang dilakukan pada Isnin lalu juga mendapati terdapat sejumlah kenderaan berat di dalam premis terbabit selain dua lori dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas premis terbabit, pasukan serbuan telah menemukan sejumlah LPG di dalam premis itu bersama beberapa peralatan lain yang dipercayai digunakan dalam aktiviti ‘decanting’, iaitu memindahkan gas daripada tong berkapasiti 14 kilogram (kg) bersubsidi kepada tong berkapasiti 50kg untuk kegunaan industri bukan bersubsidi.
“Selain itu, hasil pemeriksaan lanjut juga mendapati premis tersebut tidak mempunyai dokumen yang sah di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] untuk menjalankan urus niaga berkaitan barang kawalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sejumlah 368 unit tong gas kosong dan berisi pelbagai jenama berkapasiti 14kg dan 50kg, sebuah lori, paip getah penyambung, alat timbang pelantar serta beberapa dokumen perniagaan lain disita untuk siasatan lanjut di bawah Akta 122.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM135,000.
Mengulas lanjut, Azman berkata, serbuan bermula kira-kira jam 7.30 petang membabitkan sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Putrajaya secara bersepadu bersama KPDN Negeri Johor.
Serbuan itu adalah hasil aduan orang awam melalui inisiatif KITA
GEMPUR dan risikan yang dilakukan beberapa hari sebelum operasi dilancarkan.
Ketika serbuan, seorang individu warga tempatan berumur 51 tahun yang mengaku sebagai penyewa premis, manakala seorang lagi individu bukan warganegara berumur 38 tahun dipercayai pekerja di premis tersebut ditahan bagi membantu siasatan.
“Modus operandi sindiket adalah dengan membeli bekalan LPG daripada pemborong LPG berlesen di sekitar kawasan Kulai, Johor Bahru sebelum dikumpulkan di stor haram terbabit untuk melakukan aktiviti haram tersebut,” katanya.
Tambahnya, kertas siasatan dibuka dan siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Akta 122 bagi mengenal pasti individu atau syarikat lain yang terlibat dalam aktiviti berkenaan serta rantaian pengedaran LPG termasuk menyiasat pemborong LPG berlesen yang membekalkan LPG kepada sindiket.
Selain itu, pihak berkaitan juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613].
Untuk rekod, sebanyak 196 kes dihasilkan di seluruh negara berkaitan barang kawalan LPG bermula 1 Januari hingga 16 Disember lalu dengan nilai rampasan berjumlah RM815,960.90.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.