Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Sebuah stor haram disyaki tempat penyimpanan dan pemindahan minyak diesel bersubsidi di Klang, Selangor digempur Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kerana melakukan aktiviti penyelewengan bahan bakar itu.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, serbuan dilakukan ke atas sebuah premis tanpa nama oleh sepasukan anggota penguat kuasa dari KPDN Selangor menerusi Ops Tiris.
Menurutnya, serbuan bermula kira-kira jam 2.30 pagi Rabu lalu, hasil risikan selama dua minggu.
“Hasil maklumat awal yang diperolehi, modus operandi sindiket ini adalah menggunakan sebuah lori kotak (bonded) yang telah diubah suai dengan tangki tambahan jenis kontena pukal pertengahan (IBC) bagi membeli minyak diesel bersubsidi (RM2.15 seliter) di stesen minyak sekitar Lembah Klang.
“Minyak diesel itu kemudiannya akan dibawa ke stor haram terbabit untuk dipindahkan ke sebuah lori tangki yang lain sebelum dijual di pasaran (dengan harga industri yang lebih mahal),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, hasil pemeriksaan lanjut ke atas keseluruhan premis menemukan minyak diesel dengan kuantiti keseluruhan berjumlah 12,100 liter dan beberapa peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan.
Dua lori, pam bermotor, paip penyambung, minyak diesel, beberapa dokumen berkaitan serta peralatan lain disita bagi tujuan siasatan lanjut.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM218,015.
Mengulas lanjut, jelas Azman, empat lelaki berumur lingkungan di antara 25 hingga 30 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.
Dua daripadanya adalah warga asing yang mengaku sebagai pekerja premis terbabit serta pemilik lori berkenaan.
“Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran minyak diesel tersebut termasuklah sumber minyak diesel ini diperolehi dan diedarkan,” katanya.