Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] KPDN cadang perkenal program Rezeki Suri bantu suri rumah jana pendapatan.

JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bercadang memperkenalkan program Rezeki Suri bagi membantu suri rumah menjana pendapatan daripada rumah sekali gus memperkasakan ekonomi suri rumah daripada golongan B40.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata program berkenaan membolehkan membolehkan suri rumah menjual 11 barangan asas dengan bekalan terus daripada pengilang.

Katanya, langkah itu juga akan memutuskan tiga hingga empat lapisan orang tengah sekali gus menjadikan barangan asas yang dijual pada kadar harga lebih murah kepada golongan sasar B40.

“Saya amat tertarik dengan langkah Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) yang memperkenalkan program ‘Nano Retailer’ atau usahawan mikro bagi memperkasa ekonomi golongan B40 negara kita.

“Ia memberi idea untuk KPDN perkenalkan program Rezeki Suri dengan konsep yang hampir sama, bagi membolehkan golongan suri rumah menjual 11 barangan asas yang kita bantu yang dapatkan bekalan terus daripada pengilang.

“Menerusi program Rezeki Suri ini, suri rumah akan jual 11 barangan asas keperluan antaranya adalah beras, tepung, gula, susu, minyak masak, telur dan mungkin biskut dan barangan kering lain,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis temu rapat Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Salahuddin berkata, program Rezeki Suri itu adalah konsep sama yang diperkenalkan pakar ekonomi Bangladesh,  Dr Muhammad Yunus yang mewujudkan Grameen Bank pada 1976 di negara berkenaan.

Katanya,  Grameen Bank berjaya memperkasa usahawan kecil dan miskin terutama wanita di Bangladesh dengan memberikan mereka peluang ekonomi.

Katanya, inisiatif Dr Muhammad Yunus itu terbukti berjaya memperkasakan usahawan wanita kecil di Bangladesh dengan pinjaman yang diberikan mampu mengubah nasib mereka selain golongan wanita di sana tiada masalah membayar pinjamam diberi.

Ditanya bila program Rezeki Suri akan dimulakan, Datuk Seri Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, beliau berharap ia akan dimulakan dalam masa terdekat atau sebelum 100 hari beliau dilantik menjadi Menteri KPDN.

Loading...
Terkini