comscore
Tumpuan :
Nasional

KPDN berjaya selamatkan 1.4 juta liter diesel subsidi bernilai lebih RM3 juta menerusi Ops Tiris

KPDN bersama pasukan Polis Marin jalankan Ops Tiris tinjau dan ronda aktiviti perairan di Pelabuhan Klang.

PELABUHAN KLANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama beberapa agensi lain sudah menyelamatkan 1.4 juta liter diesel subsidi bernilai RM3.025 juta daripada penyelewengan menerusi pelancaran Ops Tiris.

Ia hasil pemeriksaan pihak berkuasa terhadap 3,654 premis dan sebanyak 95 kes dihasilkan KPDN dalam tempoh 1 Mac hingga 4 April lalu.

Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Azman Mohd Yusof berkata, hasil pendedahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung ketirisan diesel bernilai hampir RM10 bilion pada 2022, pihaknya mengambil tindakan segera dengan sebuah pasukan petugas.

Pasukan petugas itu bersama agensi berkaitan ditubuhkan untuk mengenal pasti punca ketirisan dan mencari jalan penyelesaian konkrit secara kerjasama strategik bagi mengurus isu ketirisan subsidi diesel.

Azman menaiki bot peronda untuk mengetuai tinjauan dan rondaan Ops Tiris bersama Pasukan Polis Marin di Pelabuhan Klang semalam.

Sehubungan itu, katanya, KPDN telah melancarkan Ops Tiris yang berkuat kuasa selama enam bulan bermula 1 Mac – 31 Ogos 2023. Ops ini turut membabitkan kerjasama dengan agensi penguat kuasa yang lain bagi menggerakkan arahan pemeriksaan dan operasi secara bersama ke atas barang kawalan berjadual bersubsidi jenis minyak diesel.

Tindakan pemeriksaan dan operasi dirancang di semua peringkat agensi penguat kuasa termasuklah serahan kes daripada rakan strategik seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Polis Marin (PPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Semalam, Azman berkata, KPDN telah menjalankan Ops Tiris bersama Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Port Klang dengan menggunakan pendekatan tinjauan dan rondaan di sekitar perairan yang berpotensi berlaku situasi ketirisan luar negara membabitkan aktiviti oleh bot nelayan, bunkering dan barter trade di sempadan perairan Negara.

Turut serta dalam operasi itu yang diketuai Azman ialah Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman bin Adam; Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dan Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey.

“Pihak KPDN akan terus mengadakan sesi libat urus bersama agensi penguat kuasa relevan bagi memberikan penerangan atau panduan berkaitan gerak kerja serta perancangan taktikal Ops Tiris Bersepadu di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dalam membantu kerajaan mengekang ketirisan barang kawalan membabitkan diesel di Malaysia amnya dan khususnya di negeri Sarawak.

“KPDN ingin memberikan penekanan bahawa komitmen Kementerian adalah serius dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terbabit dalam sindiket dan aktiviti penyeludupan/ penyelewengan barangan bersubsidi diesel di dalam Negara, sama ada di darat dan laut,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, tindakan tegas akan diambil termasuklah mendakwa mana-mana pihak terlibat di mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (AKB 1961) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Loading...
Terkini