ALOR SETAR: Sebuah kedai makan di Changlun yang ditular di media sosial kerana dipercayai menjual gulai kambing pada harga yang tidak munasabah sudah diberi notis oleh pihak berkuasa hari ini.
Notis itu dikeluarkan oleh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah dalam pemeriksaan yang dilakukan semalam.
Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, pihaknya mengesan hantaran Facebook (FB) membabitkan kedai makan berkenaan pada Jumaat lalu.
Beliau berkata, berdasarkan FB berkenaan, didapati kedai itu menjual gulai kambing pada harga tidak munasabah.
“Berikutan itu, sepasukan pegawai penguat kuasa melakukan pemeriksaan lanjut dan bertemu dengan pemilik premis berkenaan.
“Hasil pemeriksaan jam 11 pagi semalam mendapati premis dimiliki warga tempatan berusia 40-an dan menyediakan menu untuk makluman pelanggan dengan tanda harga dipamerkan di premis terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, Muhammad Nizam berkata, premis itu diberikan Notis Bertulis (NB) di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 kerana ketika tular pemilik tidak meletakkan tanda harga pada setiap masakan yang dipamer untuk jualan.
Beliau berkata, pemilik juga perlu mengemukakan maklumat harga kos dan jualan berhubung penyediaan hidangan makanan itu dalam tempoh masa enam hari bekerja.
Muhammad Nizam berkata, KPDN Kedah memberi amaran kepada mana-mana peniaga supaya tidak sewenang-wenangnya meletakkan harga yang tidak munasabah dan pengguna dinasihatkan supaya sentiasa menyemak harga sebelum membuat pembelian.
Beliau berkata, ini kerana Akta Perlindungan Pengguna 1999 memberikan hak kepada pengguna untuk mendapatkan maklumat berhubung sesuatu barangan termasuk hidangan makanan sebelum membuat pesanan.