Tumpuan :
Nasional

KPDN akan banteras restoran guna minyak masak paket – Fuziah

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KDPN) akan membanteras penyelewengan barangan bersubsidi terutama membabitkan penggunaan minyak masak paket di restoran.

Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh berkata kementeriannya menyedari ada pihak tidak bertanggungjawab menyalahgunakan barangan subsidi terutama minyak masak paket satu kilogram.

“Ada pihak akan ambil kesempatan, contohnya mereka menggunakan minyak masak subsidi ini di restoran.

“Jadi perkara ini akan dibanteras habis-habisan dan inilah tugas penguat kuasa kita dan kita akan pastikan tiada ketirisan berlaku,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai isu ketirisan minyak masak subsidi apabila ada peniaga menjual kepada golongan sasaran mereka sahaja.

Mengulas lanjut, Fuziah berkata, pihaknya memantau perkara itu dengan menggunakan sistem eCOSS yang boleh menjejaki rantaian dalam industri itu.

“Sebanyak 60 juta minyak paket bersubsidi dikeluarkan setiap bulan. (Jadi), kita memastikan kita menggunakan sistem eCOSS boleh jejak daripada repacker (pengilang) kepada pemborong dan peruncit.

“Peruncit pula diminta untuk mengisi buku log mereka jual kepada siapa, tetapi adakalanya peruncit itu tidak menyimpan buku log dengan baik.

“Jadi penguatkuasaan amat penting… memang penguat kuasa KPDN bekerja 24 jam sehari untuk pastikan tidak berlaku ketirisan ke atas barangan bersubsidi terutama minyak masak paket ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini